Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Negara alami cuaca berangin, hujan sekali-sekala

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Susulan tempoh peralihan monsun, Negara Brunei Darussalam kini mengalami cuaca tidak menentu bermula kelmarin hingga 7 Oktober depan dengan keadaan cuaca dijangka berangin dan hujan sekali-sekala melintasi negara.

    Hujan dijangka lebat sekali-sekala dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45kmsj di kawasan darat dan boleh mencapai 60kmsj di kawasan laut. Manakala itu, keadaan laut berombak di paras sederhana dan boleh mencapai paras bergelora 2.0 m semasa hujan lebat dan berangin, menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD).

    Sehubungan itu, BDMD menasihatkan orang ramai untuk mengambil perhatian akan risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat.

    Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan dan keadaan berangin.

    Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    Kenyataan menambah, pihak jabatan akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit Brunei WX, kerana maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan. Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di pusat ramalan cuaca melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda