Monday, July 28, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Negara alami keadaan berjerebu

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Negara Brunei Darussalam pada masa ini mengalami keadaan berjerebu yang dise-babkan kewujudan titik panas berpunca daripada kebakaran hutan di kepulauan Borneo dengan tiupan angin perlahan dari barat daya menuju ke negara kita.

    Imej satelit yang diterima dari Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) menunjukkan 171 titik panas telah dikesan pada 24 Julai, 112 titik panas pada 25 Julai dan 105 titik panas pada 26 Julai, di sebelah selatan dan barat kepulauan Borneo.

    Dalam kenyataan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan; Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, menyatakan BDMD meramalkan jumlah turunan hujan bagi Julai adalah di bawah jumlah normal.

    Dalam tempoh ini cuaca dijangkakan panas dan kering dengan suhu maksimum harian boleh meningkat antara 34°C hingga 37°C.

    Keadaan cuaca berjerebu lazimnya berlaku semasa monsun barat daya ini.

    Gambar Freepik

    Kualiti udara yang dicatatkan di semua stesen pemantauan kualiti udara (Bahan Partikulat 10) di keempat-empat daerah adalah tinggi berbanding hari-hari biasa. Kualiti udara negara keseluruhannya adalah di tahap baik ke sederhana.

    Bacaan indeks pencemaran (PSI) hari ini, mencatatkan kualiti udara baik di Daerah Brunei Muara dengan jumlah PSI 30, Daerah Belait, baik dengan jumlah PSI 36, Daerah Tutong sederhana dengan jumlah PSI 54 dan Daerah Temburong baik dengan jumlah PSI 11.

    Bacaan PSI kurang daripada 50 adalah bagi keadaan kualiti udara baik dan bacaan PSI di antara 50 dan 100 adalah sederhana.

    Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai pada bacaan PSI sederhana, mereka yang tidak mempunyai masalah kesihatan bolehlah melakukan aktiviti luar, manakala bagi kanak-kanak, wanita mengandung, warga tua dan mereka yang menghidap penyakit asma, penyakit paru-paru dan penyakit jantung dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah.

    Orang ramai yang mengalami gejala seperti batuk berpanjangan atau sesak nafas dinasihatkan berjumpa doktor di pusat kesihatan terdekat.

    JASTRe sentiasa memantau situasi ini dari semasa ke semasa dan memaklumkan orang ramai mengenai kualiti udara melalui stesen-stesen radio RTB, laman sesawang dan Instagram jabatan.

    Orang ramai dinasihatkan meng-hubungi JBP di talian kecemasan 995 sekiranya berlaku sebarang kejadian kebakaran hutan atau rumput. Mereka juga dinasihatkan tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda