Wednesday, December 4, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Negara alami musim tengkujuh

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif bermula 3 sehingga 9 Disember depan dengan hujan, sekali-sekala lebat dan berpetir dijangka menjejaskan kawasan pedalaman pada waktu petang.

    Ianya akan merebak ke kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam dan berpotensi berlanjutan ke awal pagi keesokan hari.

    Manakala kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45kmsj semasa hujan lebat. Keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit ke sederhana, di antara 0.5-1.3 meter.

    Maklumat keadaan cuaca negara berkenaan, dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, turut menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam berada di dalam monsun timur laut, yang pada lazimnya akan berterusan sehingga sekitar hujung bulan Mac 2025.

    Semasa tempoh separuh pertama monsun timur laut iaitu sehingga bulan Januari 2025, yang juga dikenali sebagai musim tengkujuh, negara lazimnya akan mengalami keadaan cuaca tidak menentu, dengan hujan atau hujan berpetir sekali-sekala lebat berlaku terutama pada waktu malam hingga awal pagi.

    Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. – GAMBAR SERAHAN BDMD

    Manakala semasa tempoh separuh kedua monsun timur laut iaitu bulan Februari dan Mac 2025, keadaan atmosfera cenderung menjadi lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan.

    Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku, di mana terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Manakala kejadian tanah susur, pokok tumbang dan atap terbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin kencang.

    Orang ramai, pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit iaitu Brunei WX atau menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn, laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram (Brunei Weather).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda