Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Negara Arab, Islam tuntut tindakan tegas terhadap serangan Israel di Doha

    ISTANBUL, 15 SEPT – Wakil pemimpin negara Arab dan Islam pada Ahad menuntut tindakan tegas diambil terhadap Israel susulan serangan udaranya ke atas Doha, dengan menyifatkan serangan itu sebagai, “pengecut, khianat dan jenayah,” lapor Anadolu Ajansi (AA).

    Bercakap pada mesyuarat peringkat menteri di Doha, Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit berkata serangan itu menggabungkan “sifat pengecut, khianat dan kebodohan.”

    Beliau menegaskan Israel menjadi semakin berani kerana, “sikap tidak apa dan sikap berdiam diri masyarakat antarabangsa yang memalukan.”

    Aboul Gheit menggesa negara Arab dan Islam bekerjasama untuk menghentikan apa yang disifatkannya sebagai ‘jentera jenayah perang’ Israel dan menamatkan ‘perang memalukan’ yang sedang berlangsung.

    Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Hissein Brahim Taha pula menyatakan ‘solidariti penuh’ dengan Qatar selepas apa yang digelarnya sebagai ‘pelanggaran jenayah’ oleh Israel, sambil menekankan bahawa masyarakat antarabangsa mesti mengambil tindakan tegas terhadap Tel Aviv.

    Turut berucap pada mesyuarat persiapan itu, Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani yang mengecam serangan itu sebagai ‘keganasan negara’ dan serangan terhadap ‘prinsip pengantaraan itu sendiri’.

    Beliau berkata serangan itu adalah pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa dan norma diplomatik, serta berikrar Doha akan meneruskan usaha pengantaraan bersama Mesir dan Amerika Syarikat.

    Menteri-menteri luar negara Arab dan Islam memulakan mesyuarat persiapan tertutup di Doha kelmarin menjelang sidang kemuncak tergempar hari ini yang akan menghimpunkan ketua-ketua negara.

    Sidang itu juga dijangka membincangkan cadangan lama untuk mengaktifkan pasukan tentera bersama negara-negara Arab, satu inisiatif yang pertama kali dikemukakan oleh Mesir hampir sedekad lepas.

    Mesyuarat ini berlangsung susulan serangan udara Israel pada Selasa terhadap sebuah kawasan kediaman di Doha yang mengorbankan lima anggota Hamas ketika kumpulan itu sedang membincangkan cadangan Amerika Syarikat untuk menamatkan perang di Gaza, yang setakat ini telah meragut hampir 65,000 nyawa rakyat Palestin sejak Oktober 2023. – Bernama/Anadolu  

    Suasana pemandangan mesyuarat persediaan di Doha kelmarin menjelang sidang kemuncak Islam Arab. Serangan Israel di Doha diancam banyak pihak. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda