PUTRAJAYA, 1 APRIL – Lebih banyak bantuan dan sokongan dari negara anggota ASEAN dijangka tiba di Myanmar hari ini, bagi membantu operasi menyelamat dan pemulihan, ketika angka korban akibat gempa bumi besar minggu lepas terus meningkat.
Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan menegaskan bahawa sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia bekerjasama rapat dengan negara anggota ASEAN lain untuk menyokong Myanmar dalam saat getir ini, mencerminkan komitmen kolektif blok itu terhadap tindak balas bencana dan kerjasama serantau.
Pasukan Khas Bantuan Bencana dan Penyelamat Malaysia (SMART), MAS-01 yang dihantar oleh Malaysia telah tiba di Sagaing pada 31 Mac dan kini sedang menubuhkan Pusat Operasi (BoO) di Padang Bola Sepak Ulang Tahun Sagaing.
BoO itu terdiri daripada pos kawalan, kemudahan perubatan, kawasan dekontaminasi serta ruang rehat, menunjukkan keupayaan pasukan untuk beroperasi secara kendiri sehingga 14 hari.
Beroperasi di bawah arahan Jabatan Pengurusan Bencana Myanmar (DDM), pasukan Malaysia menumpukan usaha mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kritikal termasuk rumah ibadat, sekolah dan hospital.

Menurut kementerian, pasukan Malaysia kekal sebagai satu-satunya pasukan SAR antarabangsa yang kini beroperasi di Sagaing, sekali gus mengisi jurang penting dalam usaha bantuan kemanusiaan.
“Walaupun berdepan gegaran susulan yang kerap, keadaan muka bumi mencabar dan cuaca panas melampau, pasukan ini telah mencapai kemajuan ketara di lokasi seperti Sekolah Persendirian Nyat serta beberapa masjid dan kuil.
Usaha mereka turut dihargai oleh komuniti setempat, yang membalas dengan tindakan murni seperti mengumpulkan air minuman untuk kegunaan pasukan,” menurut kenyataan itu.
Bantuan daripada negara jiran ASEAN telah pun tiba di Myanmar. Pasukan dari Singapura, Indonesia, Thailand dan Vietnam telah dikerahkan dan kini aktif menyertai operasi mencari dan menyelamat serta menyampaikan bantuan di lapangan.
“Kehadiran pasukan ini mencerminkan tindak balas bersatu ASEAN serta komitmen untuk saling membantu dalam waktu sukar,” katanya. – Bernama