PHNOM PENH, 27 APRIL – Forum Ramalan Iklim ASEAN ke-24 telah diadakan di Phnom Penh, ibu negara Kemboja baru-baru ini dengan tumpuan pada gelombang haba dan kesihatan awam.
Menurut agensi berita Vietnam (VNA), forum itu berlangsung dalam konteks banyak negara dalam blok ASEAN sedang mengalami kesan negatif perubahan iklim.
Forum itu dihadiri oleh pakar iklim dari negara-negara anggota ASEAN serta wakil dari Pertubuhan Meteorologi Dunia, Pusat Meteorologi Khas ASEAN dan Sistem Amaran Awal Bersepadu Pelbagai Risiko Serantau. Dalam ucapan pembukaan forum tersebut, Menteri Sumber Air dan Meteorologi Kemboja, Thor Chetha berkata ASEAN telah menjadi ‘kawasan panas’ bagi impak perubahan iklim seperti banjir, kemarau dan gelombang haba.
Beliau menekankan kepentingan penyelidikan dan kajian iklim serta pengenalpastian punca sebenar fenomena alam semula jadi, bagi menangani bahaya perubahan iklim dalam jangka masa panjang.
Beliau berkata adalah penting bagi negara-negara di rantau ini untuk bekerjasama dalam pertukaran data, teknologi dan pengetahuan bagi menangani cabaran iklim.
Beliau turut menyatakan keyakinannya bahawa hasil forum ini akan berguna untuk semua pihak berkepentingan dalam membangunkan pelan strategik yang praktikal untuk memerangi, mengurangkan dan menyesuaikan diri dengan perubahan iklim. – ANN/Vietnam News
