Tuesday, April 8, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Negara ASEAN perlu sepakat hadapi tarif AS – Anwar

    PUTRAJAYA, 7 APRIL – Malaysia dan negara-negara ASEAN perlu membentuk satu kesepakatan dalam isu tarif yang diumumkan Amerika Syarikat (AS) untuk memastikan rundingan dan perbincangan yang bakal dijalankan mempunyai asas yang kukuh, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau berkata meskipun pengumuman tarif oleh Presiden AS Donald Trump dibuat dengan asas yang dipertikaikan, negara-negara ASEAN tidak boleh memandang ringan perkara itu terutamanya dalam suasana ekonomi dan politik dunia yang tidak menentu.

    “Kita tidak boleh pandang ringan walaupun kita tahu ini agak aneh kerana negara yang sebelum ini mendukung semangat perdagangan bebas serta menubuhkan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Perjanjian Am mengenai Tarif dan Perdagangan (GATT) iaitu negara-negara kaya seperti Amerika Syarikat – kini mengambil langkah berbeza.

    “Inilah yang saya maksudkan sebagai ‘post normal times’ apabila dasar politik dan ekonomi dilaksanakan secara tidak dijangka termasuk pengumuman tarif dengan asas yang sangat lemah,” kata beliau pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri hari ini.

    Anwar turut menyifatkan kaedah penentuan tarif yang diumumkan Trump sebagai tidak teliti, dengan menyebut bahawa ada negara pulau kecil yang tersenarai walaupun ‘hanya dihuni penguin’.

    Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan memilih untuk mengambil pendekatan sederhana terlebih dahulu memandangkan ruang untuk perbincangan dan perundingan masih terbuka selain wujud beberapa pengecualian yang perlu dikenal pasti secara terperinci.

    “Oleh itu, tugas saya, Kementerian Luar dan menteri-menteri berkaitan adalah menghubungi rakan-rakan kita di ASEAN agar setiap negara dapat menyatakan pendirian masing-masing dan pada masa sama kita bergerak bersama sebagai satu kelompok besar.

    “Kita harus berdiri tegap bersama sebagai ASEAN—dengan jumlah penduduk 640 juta dan kekuatan ekonomi antara yang utama di dunia. Rantau ini juga dianggap antara yang paling aman dan pesat membangun di dunia,” kata beliau.

    Pada 2 April lalu, Trump mengumumkan satu siri tarif baharu yang secara jelas menyasarkan beberapa negara ASEAN. Langkah itu secara langsung menaikkan duti import terhadap beberapa rakan dagang utama Washington di rantau Asia Tenggara.

    Negara anggota wilayah Indo-China ASEAN paling teruk terjejas akibat daripada tarif tersebut, dengan Kemboja dikenakan tarif asas dan timbal balik berjumlah 49 peratus, diikuti Laos (48 peratus), (Vietnam 46 peratus) dan Myanmar (44 peratus).

    Sementara itu, Thailand dikenakan tarif 36 peratus, Indonesia 32 peratus, Brunei dan Malaysia, masing-masing pada 24 peratus, Filipina 17 peratus dan Singapura pada tarif asas 10 peratus.

    Berdasarkan lembaran fakta daripada Rumah Putih bertarikh 2 April, tarif 10 peratus ke atas semua negara akan berkuat kuasa pada 5 April 2025. – Bernama

    Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama Warga Kerja Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan De Seri Endon, PUSPANITAPURI hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda