SINGAPURA, 3 MEI – Beberapa buah negara Asia telah mengambil kesempatan ke atas kejatuhan harga minyak akibat pandemik koronavirus untuk menambah simpanan stok minyak mentah mereka.
Rizab strategik adalah simpanan stok minyak mentah dan bahan api disimpan oleh kerajaan di kemudahan penyimpanan yang selamat untuk melindungi daripada gangguan bekalan tenaga yang tidak dijangka.
Ekonomi utama seperti Amerika Syarikat (AS), China dan Rusia mula menambah rizab selepas kejutan harga minyak pada tahun 1970an, menurut Ravi Krisnaswamy, naib presiden senior serantau untuk firma pakar runding tenaga dan alam sekitar Frost & Sullivan. Kejadian yang mendorong mereka mengambil tindakan adalah peperangan Yom Kippur pada tahun 1973 di antara Israel dan negara-negara Arab, dan revolusi Iran pada 1979, yang mencetuskan kebimbangan mengenai bekalan minyak.
China dipercayai mempunyai simpanan terbesar di Asia Pasifik. Beijing tidak memberikan anggaran rasmi tetapi penganalisis berkata ia berjumlah kira-kira 550 juta tong. Sebagai perbandingan, rizab strategik AS kini menampung kira-kira 630 juta tong. Koperasi Petroleum Nasional China yang dimiliki oleh kerajaan China berkata baru-baru ini bahawa rizab negara ‘sememangnya tidak mencukupi, dan belum mencapai standard antarabangsa ‘garis keselamatan 90 hari.’ Agensi Tenaga Antarabangsa mewajibkan ahli-ahlinya untuk menyimpan stok minyak kecemasan kepada bersamaan dengan import minyak bersih selama sekurang-kurangnya 90 hari.
Rizab minyak mentah Jepun berjumlah kira-kira 500 juta tong pada penghujung bulan Februari lalu, bersamaan dengan penggunaan negara untuk lebih tujuh bulan, menurut data rasmi terkini, sementara Korea Selatan mempunyai kira-kira 96 juta tong dalam rizab strategik pada Disember 2019, cukup untuk 89 hari. Sebagai perbandingan, India mempunyai rizab dengan kapasiti penyimpanan kira-kira 40 juta tong – yang hanya boleh bertahan selama 10 hari di negara yang mempunyai penduduk seramai 1.3 bilion orang.
Rizab strategik sebahagian besar disimpan dalam depot bawah tanah yang selamat seperti gua batu semula jadi. Rizab Petroleum Strategik AS, bekalan minyak mentah kecemasan terbesar di dunia, disimpan di gua garam bawah tanah yang besar di sepanjang Pantai Teluk. – AFP
