Thursday, December 19, 2024
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Negara Brunei Darussalam zahir soladiriti dengan Palestin

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Negara Brunei Darussalam turut menzahirkan keprihatinan mendalam terhadap peningkatan keganasan baru-baru ini mengakibatkan kehilangan nyawa penduduk yang tidak berdosa, penderitaan, dan kemusnahan harta benda.

    Menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri (MOFA) yang dikeluarkan hari ini, menyeru agar semua pihak untuk segera menghentikan segala bentuk keganasan dan mengekalkan batasan sepenuhnya.

    Kenyataan itu seterusnya menyeru agar semua pihak mematuhi kewajipan mereka mengikut undang-undang antarabangsa, termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, terutamanya dalam melindungi keselamatan dan keamanan semua penduduk awam.

    “Peningkatan konflik dan keganasan di Palestin menuntut tindakan segera untuk mencipta persekitaran yang kondusif bagi perbincangan damai tanpa penangguhan. Kami menegaskan sokongan kami terhadap usaha-usaha antarabangsa yang bertujuan mencapai perdamaian menyeluruh, adil, dan kekal di Timur Tengah berdasarkan undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB yang relevan,” tambah kenyataan tersebut.

    Penderitaan rakyat Palestin masih menjadi teras konflik di Timur Tengah. Selama beberapa dekad, rakyat Palestin terus terpinggirkan daripada hak asasi mereka untuk menentukan nasib sendiri, keamanan dan kebebasan, akibat daripada pendudukan yang berpanjangan, pemindahan paksa dan pengembangan penempatan haram yang berterusan.

    Kenyataan itu turut menegaskan solidariti Negara Brunei Darussalam dengan rakyat Palestin dan hasrat untuk menyaksikan sebuah Negara Palestin yang merdeka, dengan sempadan mengikut keadaan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya.

    Kumpulan penyokong Palestin berhimpun berhampiran Konsulat Israel kelmarin di New York City. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda