Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MAC – Anggaran penduduk Negara Brunei Darussalam bagi tahun 2024 mencatatkan jumlah 455,500 orang berbanding 450,500 orang pada tahun 2023.
Ini menunjukkan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 1.1 peratus sama seperti tahun 2023. Jumlah penduduk pada tahun 2024 terdiri daripada 240,700 orang lelaki (52.8 peratus) dan 214,800 orang perempuan (47.2 peratus) sementara nisbah jantina adalah 112.1 orang lelaki bagi setiap 100 orang perempuan.
Rakyat Brunei menyumbang bahagian terbesar sebanyak 76.1 peratus (346,500 orang), manakala penduduk tetap dan penduduk sementara masing-masing mencatat 5.8 peratus (26,300 orang) dan 18.1 peratus (82,700 orang).
Daerah Brunei dan Muara mempunyai bilangan penduduk tertinggi iaitu 329,900 orang (72.4 peratus) daripada jumlah penduduk, diikuti Daerah Belait dengan 67,500 orang (14.8 peratus), Daerah Tutong 48,500 orang (10.7 peratus), dan Daerah Temburong 9,600 orang (2.1 peratus).
Dari perspektif taburan umur pula, kira-kira 19.9 peratus iaitu 90,700 orang daripada jumlah penduduk berumur di bawah 15 tahun, 72.8 peratus (331,700 orang) adalah penduduk berumur 15-64 tahun, dan 7.3 peratus (33,100 orang) adalah penduduk yang berumur 65 tahun dan ke atas. Umur penengah (median) pada tahun 2024 adalah 32.4 tahun berbanding 32.5 tahun pada tahun 2023.
Bangsa Melayu merupakan komuniti terbesar di negara ini dengan agihan sebanyak 73.7 peratus (335,500 orang) daripada jumlah penduduk. Bangsa Cina dan lain-lain bangsa masing-masing merangkumi 9.6 peratus (43,800 orang) dan 16.7 peratus (76,200 orang) daripada jumlah penduduk.
