ISTANBUL, 16 SEPT – Negara Islam Asia kelmarin telah mendesak tindakan diambil terhadap Israel berhubung serangan udaranya yang disifatkan ‘melulu’ ke atas bandar Qatar serta menuntut keahlian Israel dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) digantung.
Ketua kerajaan terbabit menyuarakan pendirian itu pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha berikutan serangan minggu lalu, lapor agensi Anadolu.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian mengecam serangan Israel itu sebagai ‘keganasan terang-terangan yang melanggar semua norma antarabangsa’ dengan tujuan untuk ‘menggagalkan usaha menghentikan genosid di Gaza.’
Pezeshkian menegaskan perlunya perpaduan Arab dan Islam menentang Israel dengan menyatakan, “tiada satu pun negara Arab atau Islam yang selamat daripada serangan Israel.”
Presiden Maldives, Mohamed Muizzu menggesa pemimpin Israel dipertanggungjawabkan atas jenayah perang melalui langkah politik, ekonomi dan diplomatik yang bersepadu, selain menyeru bantuan kemanusiaan segera dihantar ke Gaza dan Tebing Barat.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif pula menggesa ‘penubuhan Pasukan Petugas Arab-Islam untuk mengambil langkah berkesan menangkis rancangan peluasan Israel,’ sambil mengulangi tuntutan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya keahlian Israel dalam PBB digantung.
Menteri Luar Indonesia, Sugiono pula berkata, isu Palestin ‘bukan hanya mengenai Palestin, tetapi mengenai kelangsungan negara kita, maruah rakyat kita dan kesucian undang-undang antarabangsa.’ – Bernama


