KUALA LUMPUR, 9 APRIL – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyeru negara-negara Islam agar tidak hanya menjadi pemerhati, sebaliknya memainkan peranan aktif dalam menghentikan keganasan dan memberikan bantuan sewajarnya kepada rakyat Palestin.
Setiausaha Agung PUM, Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata segala usaha untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin, khususnya di Gaza perlu diteruskan dengan gigih dan tanpa henti sehingga mereka mencapai kemenangan dan keadilan.
Beliau berkata keadaan rakyat Palestin, khususnya di Gaza yang terus menerus dibom oleh rejim Zionis memerlukan perhatian serta tindakan segera daripada seluruh dunia.
“Perjuangan mereka untuk mempertahankan tanah air dan hak mereka adalah perjuangan yang adil dan wajar disokong dengan segala cara yang mungkin.
“Justeru, PUM menyeru seluruh umat Islam dan pihak-pihak yang cintakan pembebasan untuk terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada perjuangan rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
PUM juga melihat sokongan berterusan rakyat di negara-negara barat yang turut menyuarakan sokongan kepada perjuangan Palestin sebagai satu perkembangan psotitif sekali gus menempelak keangkuhan kuasa barat yang masih menyokong kezaliman rejim Zionis.
Oleh itu, tidak seharusnya ada seorang pun rakyat di negara-negara Islam yang memandang sinis atau acuh tak acuh terhadap perjuangan suci rakyat Palestin. – Bernama
