BAGHDAD, 29 JUN – Iraq, Iran, Arab Saudi dan negara-negara Timur Tengah yang lain hari ini mengutuk pembakaran Al-Quran oleh seorang warga Iraq yang tinggal di Sweden, memberi amaran tindakan sedemikian ‘membakar’ perasaan umat Islam di seluruh dunia.
Di bawah pengawalan polis yang ketat, Salwan Momika, 37 tahun yang melarikan diri ke Sweden beberapa tahun lalu, kelmarin menginjak Al-Quran sebelum meletakkan beberapa muka surat di hadapan masjid terbesar di Stockholm.
Polis di ibu negara Sweden telah memberikannya kebenaran untuk protes itu berlandaskan perlindungan kebebasan bersuara, tetapi kemudian berkata mereka telah membuka penyiasatan terhadap lelaki itu kerana ‘penghasutan awam.’
Insiden itu berlaku ketika umat Islam di seluruh dunia sedang menyambut cuti Aidiladha dan ibadah haji tahunan di Mekah, Arab Saudi hampir berakhir.
Iraq mengecam keputusan pihak berkuasa Sweden untuk memberikan kebenaran kepada ‘ekstremis untuk membakar Al-Quran.
“Peristiwa ini membakar perasaan umat Islam di seluruh dunia dan merupakan provokasi berbahaya bagi mereka,” kata kementerian luar di Baghdad.
Ulama Syiah Iraq yang berpengaruh, Moqtada Sadr menggesa demonstrasi di luar kedutaan Sweden di Baghdad bagi menuntut penyingkiran duta itu, mendakwa negara tersebut “memusuhi Islam.”
Iran turut serta dalam kecaman itu, menggelar pembakaran Al-Quran sebagai “provokatif, tidak dipandang sebelah mata dan tidak boleh diterima”.
“Kerajaan dan rakyat Republik Islam Iran tidak bertolak ansur dengan penghinaan sedemikian dan mengutuk sekeras-kerasnya,” kata jurucakap kementerian luar, Nasser Kanani. – AFP
