Tuesday, April 16, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Negara Islam kutuk kenyataan Anti-Islam BJP

    NEW DELHI, 6 JUN – India hari ini berdepan kemarahan diplomatik daripada beberapa buah negara majoriti Islam selepas pegawai tertinggi dalam parti pemerintah India membuat kenyataan yang didakwa menghina Islam.

    Sekurang-kurangnya lima buah negara Arab telah menyatakan bantahan ke atas India manakala Pakistan dan Afghanistan turut mengecam kenyataan dibuat oleh dua orang jurucakap daripada parti memerintah yang diketuai oleh Perdana Menteri Narendra Modi, Parti Bharatiya Janata (BJP).

    Kemarahan turut melimpah ke media sosial dan seruan bagi memboikot barangan India telah pun dibuat di beberapa negara Arab. Di dalam negara, ia telah membawa kepada protes terhadap parti Modi di beberapa bahagian di negara itu.

    Kuwait bersama Iran, Arab Saudi dan negara Islam lain kelmarin mengecam kenyataan itu manakala Qatar menuntut permohonan maaf daripada India.

    Kementerian Luar Qatar telah memanggil duta India untuk menyampaikan nota bantahan berikutan kenyataan yang dikeluarkan anggota BJP yang disifatkan ‘boleh mencetuskan kebencian agama’.

    Muslim India melaungkan slogan ketika mengadakan bantahan terhadap ahli parti BJP yang didakwa menghina Islam di Mumbai, India, 6 Jun. – AP

    Nota bantahan itu disampaikan Menteri Hal Ehwal Luar, Soltan Saad Al Muraikhi.

    Sementara itu jurucakap kementerian, Majed Mohammed Al Ansari berkata Qatar menyeru kerajaan India untuk segera mengecam kenyataan itu dan memohon maaf secara terbuka kepada semua umat Islam di dunia, memetik laporan agensi berita Qatar. Menurut Kementerian Luar Qatar, penghinaan itu menunjukkan kejahilan tentang peranan penting Islam dalam pembangunan tamadun di seluruh dunia, termasuk di India.

    Sehubungan itu BJP pada  Ahad menggantung pegawai-pegawai itu, Nupur Sharma yang dikatakan telah membuat kenyataan menghina dalam debat televisyen dan Naveen Jindal atas komennya di media sosial.

    “BJP mengecam sekeras-kerasnya penghinaan terhadap mana-mana personaliti mana-mana agama,” memetik kenyataan parti itu. 

    Kementerian Luar Arab Saudi dalam satu kenyataan turut mengecam kenyataan yang dibuat jurucakap BJP yang disifatkan menghina Nabi Muhammad SAW.

    Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif; imam Masjidil Haram di Mekah Sheikh Abdul Rahman Al Sudais; setiausaha agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Nayef Falah Mubarak Al Hajraf dan jurucakap kerajaan sementara Afghanistan, Zabihullah Mujahid adalah antara yang turut mengutuk kenyataan provokasi itu. – Bernama/AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...