Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Negara jadi hos mesyuarat CPTPP

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Dengan penumpuan kepada kemajuan isu-isu yang berkaitan pelaksanaan perjanjian serta menilai perkembangan Perjanjian CPTPP, Mesyuarat pegawai-pegawai kanan bagi perjanjian Comprehensive and Progressive for Trans-Pacific Partnership Ke-3 ( CPTPP SOM3) telah diadakan di Indera Samudera Grand Hall, The Empire Brunei pada 22 Julai hingga 23 Julai.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), di sini, mesyuarat itu dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari Australia, Negara Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, New Zealand, Peru, Republik Singapura, Republik Sosialis Vietnam dan United Kingdom.

    Mesyuarat yang turut dihadiri oleh perwakilan daripada Mexico secara maya itu telah dipengerusikan oleh Penolong Timbalan Menteri, Dasar Perdagangan dan Rundingan Hal Ehwal Global Kanada, Bruce Christie.

    Pada mesyuarat berkenaan, Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin selaku pegawai kanan mewakili Negara Brunei Darussalam, mengalu-alukan perkembangan baik dalam pelaksanaan CPTPP.

    Beliau turut memaklumkan sokongan penuh Negara Brunei Darussalam terhadap keutamaan Pengerusi Kanada dalam usaha ke arah peningkatan penggunaan Perjanjian CPTPP serta memanfaatkan peluang-peluang perdagangan dan pelaburan.

    Perjanjian CPTPP merupakan perjanjian perdagangan bebas yang telah ditandatangani oleh 12 buah negara yang terdiri dari Australia, Brunei Darussalam, Kanaka, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Republik Singapura, Republik Sosialis Vietnam dan United Kingdom.

    Gambar ramai pegawai-pegawai yang menghadiri mesyuarat berkenaan. – GAMBAR SERAHAN MOFE

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda