oleh Ak Zaki Kasharan
Pemergian tokoh sejarawan terbilang, Allahyarham Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Professor Kehormat (Dr) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar pada Khamis, 20 Rejab 1442 bersamaan 4 Mac lalu merupakan satu kehilangan besar buat negara.
Allahyarham yang berusia 99 tahun telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 7 pagi dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Rangas di ibu negara.
Menurut kenyataan dari Jabatan Adat Istiadat Negara dan Pusat Sejarah Brunei, Allahyarham merupakan tokoh yang sudah tidak asing lagi di negara ini, dilahirkan pada 8 Syaaban 1339 Hijrah bersamaan 28 April 1921 di Kampung Sungai Kedayan.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pekan Brunei pada tahun 1928 hingga 1935 dan kemudiannya meneruskan pengajian di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak pada tahun 1939 hingga 1941.
Selepas itu, Allahyarham mengikuti pengajian di Pusat Latihan Kanri Yosezyo, Kuching pada 1944 hingga 1945 dan kembali menamatkan pengajian di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak pada 1947 hingga 1948. Allahyarham juga belajar di Maktab Pertanian Serdang, Selangor tahun 1950 hingga 1951, sebelum meneruskan pembelajaran di City of Worcester Training College, United Kingdom pada tahun 1956 hingga 1957.

Allahyarham mula berkhidmat dengan kerajaan Brunei sebagai guru pelatih pada 1 Januari 1939 hingga 31 Disember 1946 dan kemudian dinaikkan pangkat menjadi penolong guru besar pada 1 Januari 1948 hingga 31 Disember 1950.
Beliau seterusnya menjawat pelbagai jawatan seperti pengurus perkebunan sekolah pada 1951 hingga 1955, ketua nazir rancangan pemakanan dan penasihat kaedah mengajar (1957-1960), pengarah Lembaga Bahasa (1961-1964) dan pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1965 hingga 1976.
Setelah bersara, beliau dilantik semu-la sebagai penasihat kepada pengarah DBP pada tahun 1977 hingga 1981, dan pengerusi Majlis Pelajaran pada tahun 1983. Allahyarham kemudian menerajui Pusat Sejarah Brunei dari mula penubuhannya pada tahun 1982 sehingga kini.
Allahyarham mendirikan rumah tangga dengan Datin Hajah Dayang Siti Hara binti Pehin Orang Kaya Shahbandar Haji Awang Muhammad Taha dan dikurniakan lima orang anak dan seorang anak angkat.
Allahyarham merupakan ahli majlis-majlis seperti ahli Majlis Mesyuarat Diraja, ahli Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja, ahli Majlis Ugama Islam dan ahli Majlis Mesyuarat Adat Istiadat.
Selain itu, Allahyarham juga pernah dilantik sebagai ahli jawatankuasa seperti Jawatankuasa Badan Penerangan Islam pada tahun 1958, ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (1959), ahli Lembaga Penasihat Brunei (1959-1962), ahli Majlis Mesyuarat Diraja (1959) hingga kini, ahli Jemaah Rancangan Kemajuan Negeri Brunei (1959-1960), pengerusi Lembaga Bahasa Taraf Kerakyatan (1961), ahli Jawatankuasa Hal Ehwal mengenai Minyak dan Ekonomi Minyak, ahli Jawatankuasa Lembaga Bandaran Brunei dan ahli Jawatankuasa Mengkaji Undang-undang Tanah Negeri Brunei (1962).
Selain itu, beliau pernah dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Tawaran (1970), ahli Jawatankuasa Melesen Lembaga Bandaran (1971), ahli Jawatankuasa Adat Istiadat (1973), pengerusi Majlis Pelajaran (1973-1983), ahli Jawatankuasa Mengawal dan Mengatur Perkhidmatan Televisyen Brunei (1974), ahli Jawatankuasa Kema-juan Negara dan ahli Jawatankuasa Pengurniaan Tambang Percuma Fardu Haji kepada para pegawai kerajaan (1975), ahli Jawatankuasa Sambutan Jubli Perak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah (1992), ahli Majlis Ugama Islam Brunei, ahli Majlis Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan ahli Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja tahun 2010 hingga sekarang.
Atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Allahyarham Yang Berhormat Pehin telah disampiri dengan gelaran Manteri 32, ‘Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan pada 14 Mac 1968 dan kemudian dinaikkan pangkat gelaran kepada Manteri 4, ‘Yang Dimuliakan Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja’ pada 25 Ogos 1992.
Selain daripada itu, Allahyarham juga dikurniakan bintang-bintang kebesaran dan pingat-pingat kehormatan, antaranya adalah seperti Darjah Kerabat Seri Utama Yang Amat Dihormati (Dato Seri Utama), Darjah Paduka Seri Laila Jasa Yang Amat Berjasa Darjah Kedua (Dato Seri Laila Jasa), Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Kedua (Dato Paduka), Pingat Omar Ali Saifuddin, Pingat Hassanal Bolkiah Sultan, Pingat Bakti Laila Ikhlas, Pingat Jasa Kebaktian, Pingat Kerja Lama, Pingat Jubli Puspa, Pingat Jubli Perak.
Selain daripada itu, Allahyarham juga dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Kesusasteraan (Litt. D) dari The Americaan Institute of Science Indiana, AS (1967), Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Brunei Darussalam (1993), Ijazah Doktor Kehormatan Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (1998), Anugerah Hang Tuah Dunia Melayu Islam (DDM) pada tahun 2008, Jasawan Ugama/Bakti Hijrah (1430/2008), Pingat Guru Berjasa (1998), 2nd ASEAN Culture Award dalam Bidang Persuratan dari ASEAN COCI (1990), Tokoh Guru Berbakti (1992), Penulis Berjasa (1993), dan Pemikir Budaya (1997). Pada 12 Oktober 2019, Allahyarham dianugerahkan Anugerah Keilmuan Negara dengan gelaran profesor kehormat yang dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa Majlis Ilmu 2019.
Allahyarham juga sangat aktif menulis artikel, rencana, sajak dan antologi sajak yang dimuatkan dalam beberapa majalah tempatan dan luar negara serta membentangkan beberapa buah kertas kerja dalam seminar, forum, simposium dan kursus dalam dan luar negara.
Dalam bidang penyelidikan susur galur dan purih keturunan diraja dan pembesar Brunei amatlah luar biasa, misalannya menyusun salasilah keturunan sultan-sultan Brunei daripada Nabi Allah Adam Alaihi Salam hinggalah sekarang, iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan hubungan sultan-sultan di alam Melayu ini.
Sehubungan itu, marilah kita sama-sama menyedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham dan mendoakan semoga Allah SWT menerima segala amalan serta mengampunkan dosa-dosa dan menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman.