Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha mengadakan perjumpaan dua hala dengan Menteri bagi Kementerian Darat, Infrastruktur dan Pengangkutan (MOLIT), Republik Korea, Tuan Yang Terutama Sangwoo Park di Seoul, Republik Korea pada 5 September lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), di sini, menyatakan bahawa perjumpaan itu diadakan di luar Ekspo Bandar raya Pintar Sedunia (WSCE) 2024 yang berlangsung di Goyang, Republik Korea bermula 3 September hingga 5 September.
Perjumpaan itu menumpukan kepada pertukaran pandangan dan perkongsian amalan terbaik, pengalaman serta inisiatif dalam memajukan sistem pengurusan pengangkutan pintar.
Bidang-bidang utama yang dibincangkan adalah termasuk rangka kerja dasar, perundangan, pembangunan kapasiti, perkongsian maklumat dan strategi kerjasama yang bermatlamat untuk meningkatkan kemampanan dan kecekapan pengangkutan.
Di samping itu, perjumpaan itu juga meneroka peluang-peluang kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea untuk menangani cabaran-cabaran pengangkutan awam di Brunei.
Berdasarkan kepada teknologi dan penyelesaian yang diketengahkan oleh syarikat-syarikat semasa WSCE berkenaan, terdapat penyelesaian yang berdaya maju yang boleh diguna pakai dan dipertimbangkan bagi projek Sistem Pengangkutan Pintar Negara Brunei Darussalam.
Turut hadir semasa perjumpaan berkenaan ialah Duta Negara Brunei Darussalam ke Republik Korea, Puan Yang Terutama Pengiran Hajah Nooriyah binti Pengiran Lela Wijaya Pengiran Haji Yussof, Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Seoul.
Di samping perjumpaan dua hala berkenaan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary juga telah melawat ke WSCE 2024 di KINTEX 1, Goyang, Goyang Smart Safety Center dan kemudahan Seoul Transport Operation and Information Service (TOPIS) di Seoul.
Lawatan berkenaan memberikan pandangan yang berharga dalam penyelesaian pengangkutan pintar, menumpukan kepada rangka kerja dasar, perundangan dan strategi berpandukan teknologi bagi sistem mobiliti bandar yang lebih mampan dan pintar.
Terdahulu, Ir Haji Mohammad Nazri telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Bersama (ICC) Ke-2, yang bermatlamat untuk memajukan perbincangan di bawah Memorandum Persefahaman (MOU) bagi Kerjasama dalam Bidang Pembangunan Bandar raya Pintar di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Korea pada 4 September.
Mesyuarat itu dihadiri oleh Timbalan Menteri bagi Dasar Bandar dan Wilayah, Republik Korea, Dr Lee Sangjoo di mana perbincangan menumpukan kepada menggembangkan kerjasama dalam inisiatif-inisiatif bandar raya pintar, membina atas inisiatif-inisiatif ICC yang telah dipersetuji dahulu.
Sebagai pengiktirafan kerjasama yang kukuh antara kedua-dua buah negara, Negara Brunei Darussalam telah disampaikan cenderahati penghargaan oleh Republik Korea di mana ia menggariskan komitmen bersama dan kerjasama berkekalan untuk memupuk pertumbuhan dan pembangunan dalam ruang bandar raya pintar.



