Friday, May 2, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Negara mampu penuhi permintaan tenaga elektrik semasa

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Negara Brunei Darussalam kekal mampu memenuhi permintaan tenaga elektrik semasa bukan sahaja untuk keperluan rakyat dan penduduk di negara ini, malahan bagi mendukung aktiviti perekonomian negara termasuk pelaburan langsung asing (FDI) khususnya yang mampu menjana nilai KDNK yang tinggi bagi negara di samping memerlukan tahap intensiti tenaga yang rendah.

    “Keutamaan diberikan kepada penyediaan bekalan tenaga yang berterusan dan selamat dengan liputan bekalan tenaga elektrik yang kini sudah hampir mencapai 100 peratus dengan terlaksananya penyambungan rangkaian tenaga elektrik ke Mukim Sukang dan kawasan pedalaman yang lain di Daerah Belait.”

    Penerangan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin mengenai sama ada negara mampu menyediakan bekalan tenaga elektrik yang mampan untuk memenuhi permintaan FDI tanpa perlu berkompromi.

    Sejajar dengan matlamat Pelan Tindakan Ekonomi negara, usaha-usaha penaiktarafan dan peningkatan prasarana bekalan tenaga elektrik dari segi kapasiti penjanaan dan rangkaian grid terus diberi keutamaan dalam perancangan JPM melalui Jabatan Tenaga demi memastikan kebolehpercayaan bekalan tenaga elektrik yang berterusan sambil memenuhi keperluan yang semakin meningkat, tambah Yang Berhormat Dato semasa Persidangan MMN ke-21 yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.

    Dalam jangka masa pendek dan sederhana, beberapa projek baharu sedang giat dimajukan dengan Jabatan Perkhidmatan Elektrik akan melaksanakan Projek Jana Kuasa Bukit Panggal Fasa Kedua di bawah peruntukan belanjawan RKN12 dan Syarikat Berakas Power Company juga akan membina sebuah jana kuasa baharu.

    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Kedua-dua projek berkenaan akan menggunakan teknologi combined cycle (CCGT) yang lebih cekap tenaga dan disasar akan mula beroperasi pada 2027/2028.

    Projek-projek berkenaan akan meningkatkan jumlah kapasiti terpasang bekalan tenaga elektrik secara keseluruhannya kepada sekitar 1.2 Gigawatt iaitu peningkatan melebihi 35 peratus daripada kapasiti yang ada pada masa ini.

    “Peningkatan kapasiti ini dijangka dapat memenuhi unjuran permintaan tenaga elektrik pada tahun-tahun akan datang,” jelas Yang Berhormat Dato lagi.

    Sementara itu, bagi permintaan jangka panjang, JPM melalui Jabatan Tenaga kini sedang merangka Pelan Induk Tenaga bagi membentuk hala tuju sektor tenaga elektrik yang boleh memacu pertumbuhan ekonomi menjelang 2035 dan seterusnya.

    Yang Berhormat Dato menambah perancangan yang kukuh adalah penting dalam memastikan bekalan tambahan yang diperlukan khususnya bagi aktiviti-aktiviti FDI dengan keperluan tenaga elektrik yang tinggi diambil kira awal memandangkan projek-projek penaiktarafan prasarana bekalan tenaga elektrik mengambil masa dan memerlukan peruntukan kewangan khas sama ada di bawah belanjawan RKN atau mekanisme pembiayaan alternatif seperti melalui kerjasama awam-swasta (PPP). Beliau menyatakan bahawa kehadiran FDI di Negara Brunei Darussalam adalah sangat dialu-alukan.

    “JPM melalui Jabatan Tenaga juga bersedia memudahkan mana-mana FDI yang berhasrat untuk bertapak di Negara Brunei Darussalam dalam membina janakuasa persendirian bagi kegunaan sendiri secara captive, sepertimana yang telah disaksikan di FDI-FDI utama negara pada masa ini iaitu di Loji Metanol Syarikat Brunei Methanol Company, Loji Urea Syarikat Brunei Fertilizers Industries dan juga Loji Petrokimia Syarikat Hengyi Industries.”

    Di samping itu, industri-industri baharu, ulasnya, digalakkan untuk turut mempertimbangkan sumber tenaga alternatif yang boleh diperbaharui untuk keperluan tenaga persendirian, termasuk sistem solar sama ada berskala kecil secara atas bumbung ataupun berskala besar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda