Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Negara Brunei Darussalam kini sudah memasuki tempoh peralihan monsun iaitu tempoh peralihan antara monsun barat daya kepada monsun timur laut yang biasanya berakhir pada hujung bulan November.
Pusat RamalaAn Cuaca, Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam(BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dalam kenyataannya di sini, hari ini menjelaskan bahawa sepanjang tempoh ini, kesan angin tempatan dengan kekuatan lemah ke sederhana memainkan peranan penting dalam mempengaruhi cuaca harian seperti pembentukan awan ribut petir di negara ini.
Manakala itu, keadaan cuaca cenderung panas semasa waktu siang dan kejadian ribut petir berpotensi berlaku di kawasan pedalaman pada waktu petang dan merebak ke kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu sebelah malam hingga awal pagi.
Berdasarkan rekod klimatologi, kekerapan kejadian ribut petir adalah tinggi semasa tempoh peralihan monsun ini.
Sementara itu, pembentukan sistem siklon, seperti ribut tropika dan taufan, di kawasan rantau barat laut Lautan Pasifik masih berpotensi berlaku semasa tempoh ini.
Jika sistem siklon terbentuk dan tertakluk kepada jarak lokasi sistem siklon dari kawasan negara, negara mungkin akan mengalami keadaan cuaca hujan berintensiti lebat berserta angin kencang sekali-sekala.
Sehubungan itu, BDMD menasihati orang ramai untuk sentiasa peka dengan maklumat dan ramalan cuaca serta mengambil langkah sewajarnya jika berlaku cuaca aktif. Kenyataan menyatakan, BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat serta amaran cuaca jika perlu.
Orang ramai dinasihatkan supaya dapat mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan aplikasi mudah alih Brunei WX. Orang awam juga boleh menghubungi pegawai peramal kajicuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114.