BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Negara Brunei Darussalam kini telah memasuki tempoh peralihan monsun iaitu tempoh peralihan selepas Monsun Barat Daya dan sebelum memasuki Monsun Timur Laut dengan tempoh peralihan monsun ini dijangka akan berakhir pada sekitar hujung November depan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), sepanjang tempoh ini, kesan angin tempatan iaitu bayu laut (sea breeze) dan bayu darat (land breeze) memainkan peranan penting dalam mempengaruhi cuaca harian negara.
Berasaskan data klimatologi, Oktober, November dan Disember adalah bulan-bulan di mana kejadian ribut petir lebih kerap berlaku dan menerima jumlah turunan hujan yang lebih banyak, dan lebih banyak hari-hari berhujan jika dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain.
Pada lazimnya, Oktober menerima jumlah purata turunan hujan sebanyak 313.6 mm manakala November menerima jumlah purata turunan hujan sebanyak 322.9 mm iaitu satu jumlah turunan hujan yang kedua tertinggi bagi negara ini. Purata bagi hari-hari berhujan bagi Oktober ialah 23 hari manakala November pula ialah 24 hari.
Kenyataan menjelaskan lanjut, sepanjang tempoh ini, negara lazimnya mengalami keadaan cuaca cerah pada waktu pagi dan hujan berasingan berlaku di kawasan pesisiran sekitar tengah hari, ribut petir berlaku di kawasan pedalaman negara pada sebelah petang dan merebak serta menjejaskan kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam, dan kadangkala berlanjutan sehingga awal pagi keesokan hari.
Selain itu, tiupan angin yang perlahan dari pelbagai hala pada waktu pagi dan malam, dan dari arah Barat Laut pada waktu petang dan keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit.
Kenyataan menambah, pihak jabatan akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.
Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi Brunei WX atau meng-hubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook dan Instagram @bruneiweather.