Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Negara masuki tempoh peralihan monsun

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 APRIL – Negara Brunei Darussalam kini telah memasuki tempoh peralihan monsun iaitu selepas monsun timur laut dan sebelum memasuki monsun barat daya yang dijangka berterusan sehingga hujung Mei.

    Sepanjang tempoh itu, keadaan luruan angin monsun membolehkan kesan angin tempatan memainkan peranan penting dalam mempengaruhi cuaca harian negara.Berdasarkan rekod klimatologi, kekerapan kejadian ribut petir adalah tinggi semasa tempoh peralihan berbanding dengan bulan-bulan yang lain.

    Menurut kenyataan Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, hari ini, purata hari-hari yang hujan bagi April ialah 16 hari dan bagi Mei ialah 18 hari.

    Sepanjang tempoh itu, negara lazimnya mengalami keadaan cuaca cerah pada waktu pagi dan hujan berasingan berlaku di kawasan pesisiran sekitar tengah hari, ribut petir berlaku di kawasan pedalaman negara pada sebelah petang dan merebak serta menjejaskan kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam dan kadangkala berlanjutan sehingga awal pagi keesokan hari, tiupan angin yang perlahan dari pelbagai hala pada waktu pagi dan malam serta dari arah barat laut pada waktu petang serta keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit.

    Walau bagaimanapun, fenomena El Nino yang pada masa ini masih berlaku dijangka akan menyebabkan pengurangan aktiviti dan jumlah turunan hujan pada April ini.

    Manakala cuaca panas dengan suhu udara maksimum harian boleh mencecah 34 darjah Celsius atau lebih pada waktu siang dan cuaca panas melampau (EHW) atau biasa dikenali sebagai kejadian gelombang haba di negara ini juga boleh berlaku dalam tempoh ini.

    BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini melalui aplikasi bimbit BDMD iaitu Brunei WX, hubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca di Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn dan menerusi Facebook dan Instagram @bruneiweather serta Telegram (Brunei Weather).

    Gambar BDMD

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda