BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OKT – Negara Brunei Darussalam akan mula memasuki tempoh monsun peralihan iaitu tempoh selepas monsun barat daya dan sebelum memasuki monsun timur laut yang dijangka berterusan sehingga November ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), di sini, sepanjang tempoh peralihan itu, kesan angin tempatan memainkan peranan penting dalam mempengaruhi cuaca harian negara.
Berdasarkan rekod klimatologi, kekerapan kejadian ribut petir adalah tertinggi semasa tempoh monsun peralihan jika dibandingkan dengan bulan-bulan lain.
Manakala purata hari-hari yang berhujan bagi Oktober ialah 21 hari dan November ialah 22 hari.
Sepanjang tempoh ini, negara pada lazimnya mengalami keadaan cuaca cerah pada waktu pagi dan hujan berasingan berkemungkinan berlaku di kawasan pesisiran sekitar tengah hari, kejadian ribut petir berlaku terutama di kawasan pedalaman pada sebelah petang dan merebak serta menjejaskan kawasan pesisiran dan perairan negara pada waktu malam dan kadangkala berlanjutan sehingga awal pagi keesokan hari.
Keadaan angin bertiup perlahan dari pelbagai hala pada waktu pagi dan malam, dan dari arah barat laut pada waktu petang serta keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit.
Berdasarkan model ramalan daripada pusat-pusat iklim antarabangsa, terdapat kemungkinan fenomena La Nina akan terbentuk di Lautan Pasifik antara Oktober hingga Disember.
Pada lazimnya, salah satu impak fenomena La Nina terhadap negara adalah keadaan yang lebih lembap daripada biasa, dengan peningkatan jumlah aktiviti dan turunan hujan berbanding jumlah purata.
BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Sebarang maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini juga boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi, Brunei WX kerana maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.
Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang, www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather), saluran Telegram (Brunei Weather) dan saluran WhatsApp (Brunei Weather).


