Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Negara-negara Arab kutuk pengeboman hospital di Gaza

    MUSCAT, 18 OKT – Negara-negara Arab mengecam tindakan Israel mengebom Hospital Al-Ahli Baptist di Gaza pada kelmarin.

    Arab Saudi, Qatar, Oman, Mesir, Algeria, Lubnan dan Libya dalam kenyataan rasmi mengutuk serangan itu yang telah meragut ratusan nyawa, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Kementerian Kesihatan di Gaza.

    Negara-negara berkenaan menyifatkan insiden itu sebagai jenayah kejam, serta mencabul undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

    Arab Saudi menyeru masyarakat antarabangsa berhenti berurusan dengan pihak yang berpendirian dwistandard.

    Qatar menyifatkan pengeboman hospital itu sebagai “pembunuhan kejam beramai-ramai dan jenayah tidak berperikemanusiaan terhadap orang awam yang tidak berdaya.”

    Sementara itu, Perdana Menteri Lubnan Najib Mikati mengecam tindakan segelintir masyarakat antarabangsa yang dilihat ‘berdiam diri’ dengan jenayah yang dilakukan Israel.

    Pada kelmarin, Kementerian Kesihatan di Gaza dilaporkan berkata sekurang-kurangnya 500 orang terbunuh dalam serangan udara di hospital yang terletak di tengah Gaza itu.

    Selain serangan udara, Israel turut menyekat bekalan air, elektrik, makanan dan ubat-ubatan. – Bernama

    Penduduk Palestin yang cedera duduk di hospital al-Shifa di Bandar Gaza, tengah Semenanjung Gaza, selepas tiba dari hospital al-Ahli berikutan letupan di sana, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda