ISTANBUL, 9 DIS – Beberapa negara Arab menyambut baik perkembangan terkini di Syria yang menyaksikan tampuk pimpinan Bashar al-Assad digulingkan, sambil menyeru langkah-langkah untuk memastikan kestabilan, pembangunan dan mengelakkan huru-hara yang berterusan, lapor agensi Anadolu.
Kementerian Luar Arab Saudi memaklumkan pihaknya sedang ‘memantau perkembangan di Syria’ dan berpuas hati dengan langkah positif yang diambil untuk melindungi rakyat Syria, mencegah pertumpahan darah serta memelihara institusi dan sumber negara.
Di Qatar, Kementerian Luar menekankan keperluan untuk memelihara institusi negara dan mengekalkan perpaduan bagi mengelakkan kekacauan.
Kementerian Luar Bahrain turut menyuarakan sokongan dengan menegaskan komitmennya terhadap kestabilan, kedaulatan dan integriti wilayah Syria.
Sementara itu, Mesir melalui Kementerian Luarnya memberi tumpuan terhadap perkembangan di Syria, sambil mengulangi sokongan terhadap kedaulatan dan perpaduan rakyatnya.
Kaherah menggesa semua pihak di Syria untuk memelihara sumber negara, mengutamakan kepentingan nasional dan memulakan proses politik bagi mencapai perdamaian dalaman serta memulihkan kedudukan Syria di peringkat serantau dan antarabangsa.
Raja Jordan, Raja Abdullah II menegaskan sokongan negaranya terhadap rakyat Syria dengan menghormati pilihan mereka serta menekankan keperluan untuk mengutamakan keselamatan dan kestabilan bagi mengelakkan kekacauan.
Di Iraq, jurucakap kerajaan Basim al-Awadi berkata Iraq sedang memantau rapat perkembangan di Syria dan berinteraksi dengan rakan kongsi antarabangsa bagi mempromosikan kestabilan dan keselamatan.
Presiden Palestin melalui agensi berita rasmi WAFA mengulangi solidariti dengan rakyat Syria, menekankan kepentingan mengembalikan peranan Syria di rantau itu. – Bernama