BRUSSELS, 3 DIS – Negara-negara Kesatuan Eropah (EU) bersedia untuk mendesak peraturan anti-rokok yang lebih ketat hari ini, menyokong larangan merokok dan vape di kebanyakan kawasan luar termasuk taman permainan dan kafe.
Satu cadangan untuk mempelawa negara-negara anggota bagi membanteras asap rokok terpakai – dan wap – akan dibincangkan ketika menteri kesihatan dari 27 buah negara blok itu bertemu di Brussels.
Menurut sumber diplomatik, ia berkemungkinan akan diluluskan, walaupun terdapat perpecahan politik mengenai isu itu – dinyatakan minggu lalu apabila Parlimen Eropah mengundi membantah teks yang sama.
Cadangan itu tidak semestinya dipersetujui, kerana kesihatan merupakan isu berasingan setiap negara anggota.
Namun ia memberikan petunjuk tentang dasar yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan pada masa hadapan kerana mereka berusaha untuk mengurangkan kematian dan penyakit berkaitan asap.
Berikutan cadangan awal oleh Suruhanjaya Eropah September lalu, satu draf dokumen menyeru negara-negara EU untuk melanjutkan sekatan bagi rokok meliputi ‘produk baru muncul,’ seperti peranti tembakau yang dipanaskan dan rokok elektronik yang semakin popular dalam kalangan golongan muda.
Kerajaan harus menyediakan perlindungan berkesan daripada bahan yang dikeluarkan oleh aerosol itu dalam persekitaran dalaman seperti pejabat dan bangunan awam. – AFP