DOHA, Qatar, 11 Jun – Bahrain, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memberi isyarat hari ini mereka mungkin membenarkan beberapa rakyat Qatar untuk kekal berada di negara mereka di tengah-tengah rekahan diplomatik bersama negara Teluk.
Qatar sementara itu turut menjamin rakyat negara-negara berkenaan akan mendapat ‘kebebasan sepenuhnya’ untuk tinggal di negara kaya minyak itu.
Tiga negara Teluk memutuskan hubungan dengan Qatar pada 5 Jun berhubung dakwaan yang negara itu menyokong militan dan berhubungan dengan Iran dan mengarahkan kesemua rakyat Qatar keluar dari negara itu dalam masa 14 hari, sementara memanggil pulang semua rakyatnya.
Perkara tersebut telah mencetuskan huru-hara di seluruh negara-negara Teluk, yang rakyatnya kebanyakannya berkahwin campur dan menjalankan perniagaan di seluruh negara berkongsi sejarah panjang dan ikatan kebudayaan.
Awal hari ini, ketiga-tiga buah negara telah mengeluarkan kenyataan menggesa keluarga-keluarga yang memiliki kerakyatan bercampur untuk meminta menteri-menteri dalam negeri masing-masing, untuk mempertimbangkan ‘keadaan kemanusiaan’ dalam situasi mereka.
Bagi bahagiannya, Qatar telah mengeluarkan kenyataan semalam mengatakan penduduk yang tinggal di negara itu dari negara-negara yang memutuskan hubungan akan mendapat ‘kebebasan sepenuhnya’ untuk tinggal di sana meskipun ‘kempen permusuhan dan perbalahan’ sekarang menyasarkannya.
“Kerajaan Qatar, yang mengikuti kepercayaan dan dasar teguhnya, berusaha untuk mengelak konflik politik dengan negeri-negeri dan kerajaan apabila berurusan dengan orang ramai,” kata kementerian.
“Penduduk berkenaan akan mendapat kebebasan sepenuhnya untuk tinggal di kerajaan Qatar menurut undang-undang dan peraturan yang diadaptasi oleh kerajaan itu.” – AP