Laporan akhbar Media Permata mengenai gegaran gempa bumi yang dirasai di ibu negara Brunei pada 11 Julai 2024 masih segar dalam ingatan. Ketika itu, sekitar jam 10 pagi, saya sedang berada di pejabat apabila beberapa rakan sekerja menyuarakan rasa pelik kerana kerusi dan meja seakan bergegar.
Walaupun gegaran itu tidak lama, namun cukup membuatkan ramai pekerja panik kerana tidak tahu bagaimana harus bertindak. Situasi ini jelas membuktikan rakyat kita masih kurang bersedia menghadapi bencana seumpama ini, apatah lagi jika ia berlaku dalam skala yang lebih besar.
Sehingga kini, latihan kecemasan yang lazim diadakan di negara kita lebih menumpukan kepada kebakaran dan banjir. Kedua-dua bentuk latihan ini sememangnya penting.
Namun, kita tidak boleh menafikan gegaran gempa bumi juga semakin kerap dirasai akibat aktiviti seismik di kawasan jiran dan faktor perubahan iklim yang tidak menentu masa kini.
Negara kita tidak terkecuali daripada kemungkinan bencana berkenaan kerana beberapa bulan lalu, media juga ada menerbitkan laporan bertarikh 24 Julai lalu yang mana MetMalaysia memaklumkan gegaran dirasai di bahagian Tawau dan Lahad Datu, Sabah yang berpunca daripada gempa bumi yang melanda Semenanjung Minahassa, Sulawesi, Indonesia.

Saya berpendapat sudah tiba masanya pihak berkuasa berwajib mengadakan latihan simulasi gempa bumi secara berkala, sama seperti latihan kebakaran dan banjir. Latihan ini wajar dimulakan di sekolah rendah kerana murid-murid tersebut adalah golongan yang paling rentan ketika bencana berlaku. Bayangkan seorang guru yang bertanggungjawab mengawal lebih daripada 20 orang murid di dalam kelas ketika gegaran terjadi. Tanpa pengetahuan dan latihan yang jelas, keadaan boleh menjadi kelam-kabut serta membahayakan nyawa murid-murid.
Latihan simulasi yang terancang dapat membimbing murid tentang tindakan asas, seperti berlindung di bawah meja, melindungi kepala, menunggu arahan guru, serta bergerak ke kawasan lapang dengan teratur apabila keadaan selamat.
Guru pula dapat dilatih untuk mengawal emosi, menenangkan murid dan memastikan evakuasi dilakukan secara berperingkat tanpa menimbulkan panik.
Menurut laporan Bernama, kerajaan Malaysia baru-baru ini telah mengumumkan latihan simulasi gempa yang bermula bulan depan. Latihan berkenaan berasaskan komuniti di seluruh Malaysia bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi insiden bencana.
Saya berharap pihak berkuasa memandang serius cadangan ini. Keselamatan rakyat, khususnya anak-anak sekolah, harus sentiasa menjadi keutamaan.
Alif Rahman









