Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Negara rekod 381 kes jangkitan baharu COVID-19

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan jumlah kes baharu jangkitan COVID-19 tertinggi hari ini iaitu seba-nyak 381 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 8,980.

    Terdapat 195 tambahan kes baharu kepada 25 kluster aktif yang sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.

    Dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar turut memaklumkan bahawa terdapat lima kluster baharu telah dikesan yang melibatkan 60 kes.

    “Kesemua kluster baharu ini adalah kluster rumah kediaman di mana salah satu daripadanya iaitu Kluster Destiny Jaya Sdn Bhd adalah kluster rumah yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan,” jelasnya.

    Manakala itu satu kluster telah ditutup setelah tidak ada kes dikesan dalam kluster berkenaan selama 28 hari iaitu Kluster 2839, menjadikan jumlah kluster yang aktif pada masa ini sebanyak 160 kluster.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham semasa memaklumkan angka terkini jangkitan baharu COVID-19 di negara ini, kelmarin. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin.

    Dalam pada itu, terdapat 126 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

    “Sebanyak 322 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 6,690 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 2,226 kes,” tambah Yang Berhormat Dato.

    Beliau seterusnya menyatakan bahawa dalam kalangan kes yang sedang dalam rawatan, lapan kes adalah dalam kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif.

    “Kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan tiga daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO),” kongsinya.

    Sementara itu, 30 kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi.

    Yang Berhormat Dato turut memaklumkan bahawa Dasar Pengasingan di Rumah (Home Isolation Policy) bagi pesakit-pesakit COVID-19 yang diumumkan sebelum ini telah dimulakan, khusus bagi pesakit-pesakit yang dikenal pasti tergolong di dalam kategori 1 dan kategori 2a.

    “Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan ingin menjelaskan bahawa pesakit-pesakit dalam kategori 1 dan kategori 2a yang didapati lebih sesuai menjalani rawatan di pusat-pusat pengasingan atas sebab-sebab tertentu, mereka akan dipindahkan dengan segera ke pusat-pusat berkenaan,” jelasnya.

    Menurut beliau lagi, ia adalah untuk memastikan mereka akan dapat diberikan rawatan segera jika keadaan mereka menjadi lebih teruk.

    “Oleh yang demikian, sesiapa yang pada masa ini berada di pusat-pusat pengasingan dinasihatkan untuk bersabar dan meneruskan pemantauan di pusat-pusat tersebut,” tambah beliau.

    Manakala, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 4,803 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 403,077 ujian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda