Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Negara sepakat banteras jenayah rentas sempadan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Negara Brunei Darussalam telah menyertai Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan ke-18 (AMMTC ke-18) yang berlangsung di Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Laos pada 28 hingga 29 Ogos.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri, di sini, Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu telah mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam.

    Suasana semasa mesyuarat berkenaan.

    Delegasi negara turut disertai oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Haji Roslan bin Haji Yacub dan Pemangku Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-undang), Jabatan Perdana Menteri, Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad selaku Ketua Senior Officials’ Meeting on Transnational Crime (SOMTC), Negara Brunei Darussalam serta pegawai-pegawai kanan di JPM.

    Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian semasa menghadiri mesyuarat berkenaan.

    Mesyuarat berkenaan merupakan mekanisme penting untuk bertukar-tukar pandangan dan maklumat mengenai perkembangan terkini dan cabaran-cabaran yang dihadapi dalam membanteras jenayah rentas sempadan serta tindak balas untuk menanganinya.

    Semasa sidang plenari mesyuarat pada 28 Ogos, Dato Seri Paduka Haji Sufian menyampaikan kenyataan negara mengenai usaha-usaha membanteras dan menangani kegiatan-kegiatan jenayah rentas sempadan termasuk jenayah siber, pengganasan, penggunaan dan penyeludupan dadah haram, pemerdagangan orang serta penyeludupan manusia.

    Dato Seri Paduka Haji Sufian antara lain menyentuh mengenai trend peningkatan dalam jumlah kes penipuan dalam talian atau online scams yang dihadapi oleh Negara Brunei Darussalam dan negara-negara ASEAN lain. Beliau turut menekankan mengenai trend penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) sebagai modus operandi penjenayah siber. Ancaman pengganasan juga turut menjadi salah satu isu dalam negara khususnya penyebaran bahan propaganda yang menjurus kepada ajaran ekstremis.

    Gambar ramai antara ahli-ahli yang menyertai mesyuarat dan juga Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian.

    Mengenai isu jenayah pemerdagangan orang (TIP), Dato Seri Paduka Haji Sufian menegaskan bahawa pihak-pihak yang berkenaan perlu menggunakan kriteria yang lebih telus, adil dan konsisten dalam menilai usaha-usaha pembanterasan jenayah TIP yang telah dilaksanakan oleh Negara Brunei Darussalam dan negara-negara ASEAN lain, khususnya dalam laporan-laporan seperti US Trafficking in Persons Report.

    Gambar ramai delegasi negara ke mesyuarat berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JPM

    Semasa sesi-sesi konsultasi pada 29 Ogos pula, Dato Seri Paduka Haji Sufian telah mengetengahkan komitmen negara untuk terus bekerjasama dengan negara-negara rakan dialog ASEAN untuk memelihara keamanan dan kestabilan rantau selain menzahirkan penghargaan atas segala bantuan serta kerjasama yang diberikan oleh negara-negara rakan dialog ASEAN dalam usaha menangani ancaman jenayah rentas sempadan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda