Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Negara subur dengan sedekah, asas keberkatan negara

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Sedekah bukan sekadar amalan individu, bahkan ia juga merupakan asas pembinaan sebuah Negara.

    “Jika tanah disuburkan dengan tanam-tanaman, dan hasilnya adalah buah-buahan dan sayur-sayuran, Negara pula jika di tanai dengan sedekah, hasilnya adalah keberkatan, keamanan dan kesejahteraan”.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara tersebut dalam titah Baginda semasa berkenan berangkat merasmikan Majlis Ilmu 2025 dan pelancaran buku bertajuk, ‘Negara Di tanai Dengan Sedekah / The Country Is Upheld With Charity’ yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Dalam konteks kehidupan bernegara, titah Baginda, tidak diragukan sedekah mampu untuk melahirkan masyarakat prihatin dan menghakis sifat mementingkan diri sendiri, dan orang yang bersedekah adalah mereka yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah dan ganjarannya besar di sisi Allah.

    “Rasulullah SAW juga menegaskan bahawa sedekah menyuburkan harta dan bukan mengurangkan harta”.

    Dalam titah Baginda turut mengingatkan, sedekah bukan sahaja dapat membantu golongan yang memerlukan, tetapi juga berfungsi sebagai penolak bala dan ubat penyembuh penyakit.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengurniakan titah pada Majlis Ilmu 2025, hari ini. – GAMBAR RAFI ROSLI

    Pengertian sedekah sangat luas, titah Baginda, ia bukan hanya terbatas kepada bentuk harta atau wang ringgit, tetapi ia juga meliputi semua bentuk sumbangan yang ikhlas kerana Allah termasuk tenaga, ilmu, masa dan juga doa.

    “Malah menyingkirkan rintangan dari jalan juga adalah sedekah dan bahkan memberikan senyuman kepada orang lain pun dianggap sedekah,” tegas Baginda.

    Baginda seterusnya bertitah, sedekah terbahagi kepada dua iaitu sedekah sunat dan sedekah wajib, yang mana sedekah wajib ialah zakat.

    “Beta pernah menitahkan supaya pengurusan zakat termasuk cara pengutipan dan pengagihannya hendaklah diurus dengan sebaiknya,” titah Baginda.

    Baginda bertitah menaruh harapan tinggi agar pihak berkepentingan dalam pengurusan zakat dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah, telus dan adil lagi efisien.

    Ini supaya tidak menimbulkan keresahan masyarakat khusus kepada mereka yang berhak menerima zakat.

    Dalam titah Baginda turut menekankan mengenai kepentingan pengurusan wakaf yang merupakan satu amalan berpanjangan sebagai sedekah jariah,

    Di era teknologi kini, tegas Baginda, sedekah boleh dipermudahkan tanpa mengira masa dan tempat melalui pemindahan wang secara dalam talian, kaedah pembayaran digital, aplikasi mudah ahli dan seumpamanya.

    Kerajaan Baginda telah mewujudkan berbagai Tabung seperti Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid, Tabung Anak-anak Yatim, Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin, dan baru-baru ini, Kementerian Kesihatan, titah Baginda, telah melancarkan Tabung Amal Bantuan Pesakit melalui perkhidmatan SMS dan aplikasi MyDst.

    “Semua platform ini diwujudkan bagi memudahkan orang ramai menyalurkan sedekah atau derma dan bagi menanam sikap pemurah dalam jiwa rakyat melalui amalan bersedekah,” titah Baginda.

    Majlis Ilmu bukan sekadar tuntutan intelektual, malah merupakan satu bentuk ibadat yang boleh mendekatkan kepada Allah SWT, dan tema Majlis Ilmu tahun ini, ‘Negara Di tanai Dengan Sedekah’ di mana tema ini membawa maksud yang amat mendalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda