LONDON, 27 MEI – Para pelancong dari negara-negara yang paling terkesan dengan tarif perdagangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah dilaporkan semakin kurang untuk memilih AS sebagai destinasi pelancongan luar negara mereka.
Manakala pelancong dari UK dan AS pula lebih cenderung untuk memilih percutian domestik berikutan kebimbangan ekonomi, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Ketua eksekutif laman carian hotel Trivago, Johannes Thomas memberitahu agensi berita PA, pihak mereka telah merekodkan penurunan tempahan dalam dua digit ke AS
daripada pelancong Kanada, Mexico dan Jepun.
Permintaan daripada pelancong Jerman ke AS turut menunjukkan penurunan ketara, walaupun dalam kadar satu digit.
Bagaimanapun, tiada perubahan ketara dilaporkan membabitkan tempahan dari pelancong UK ke AS.

Trump mengenakan tarif ke atas lebih 180 negara, dengan Kanada dan Mexico antara yang pertama terjejas walaupun sebahagian tarif ‘timbal balik’ itu ditangguhkan selama 90 hari susulan ketidaktentuan pasaran kewangan.
Jerman, selaku ekonomi terbesar di Eropah, dijangka menerima kesan besar akibat tarif itu khususnya dalam sektor eksport.
Thomas turut menyatakan pelancong AS juga mengurangkan perbelanjaan percutian berikutan ketidaktentuan ekonomi yang dicetuskan oleh langkah Trump mengenakan tarif lebih tinggi ke atas banyak negara.
“Jika dilihat pada pelbagai pasaran, AS cenderung lebih sensitif terhadap ketidaktentuan,” katanya.
Data tempahan di Trivago menunjukkan rakyat AS kini kurang berbelanja untuk percutian, dengan peningkatan permintaan terhadap hotel bajet dan kategori bertaraf rendah.
Trivago yang berpangkalan di Jerman turut mendedahkan kebimbangan ekonomi akibat perang perdagangan mendorong lebih ramai pelancong di AS dan UK yang memilih destinasi dalam negara masing-masing.
Data terkini menunjukkan permintaan pelancongan domestik di UK meningkat 25 peratus bagi bulan-bulan utama dari Julai hingga September berbanding tahun sebelumnya. – Bernama

