Oleh Dr. Muhammad Hadi Muhammad Melayong
Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja
SEBAGAIMANA hasrat dan visi Kebawah Dulli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mahu mewujudkan sebuah negara yang aman sejahtera di bawah keredaan Allah Subhanahu Wa’tala seperti yang disebut dalam Al-Quraan, Surah Saba, ayat 15 iaitu “(Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun”.
Matlamat ini juga adalah impian setiap negara-negara dunia untuk rakyat dan penduduknya. Namun pada hakikatnya tidak semua negara akan mencapai maksud ini kerana nikmat kesejahteraan dan kemakmuran itu adalah hak Allah Subhanahu Wa’tala yang menentukan.
Alhamdulillah, hampir satu dekad di bawah kepimpinan Baginda, kita telah menikmati dan berusaha untuk mengekalkan segala rahmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wa’tala pada setiap hamba-Nya di muka bumi Brunei Darussalam ini.
Sehubungan dengan itu untuk mendapatkan keredaan Allah Subhanahu Wa’tala, kita sebagai hamba-Nya wajib mentaati perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya serta berdiri teguh di bawah kepimpinan Raja yang sentiasa membawa ke jalan kebenaran. Sebagaimana titah Baginda pada tahun 2007:
Beta ingin mengingatkan bahawa mensyukuri nikmat keamanan dan kemakmuran bukanlah dengan asyik bersenang-senang dan bermewah-mewah saja, tapi hendaklah jangan lupa siapa yang empunya nikmat itu. Jadi janganlah lupa Allah, Kita tatang keamanan dan kemakmuran sambil mengingati Allah dengan sebanyak-banyaknya.
Ini sebenarnya maksud negara yang menjadi visi baginda Sultan yang telah dititahkan sempena Hari Raya ‘Aidiladha pada tahun 1428 Hijrah bersamaan Tahun 2007 Masihi yang menjadi azam suci untuk menjadi Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir. Antara lain titah Baginda:
“Beta insya` Allah, akan terus berazam untuk menjadikan Brunei Darussalam sebuah ‘Negara Zikir’ yang sentiasa mengagungkan Allah, supaya kita selalu berada dalam perhatian dan pemeliharaan-Nya, sesuai dengan janji-Nya di dalam surah al-Baqarah ayat 152, tafsirnya “Kamu ingat Aku, nescaya Aku akan mengingati kamu pula”.
Dengan lain perkataan, baginda mengingatkan umat Islam di negara ini supaya sentiasa mengingati Allah sebagai tanda kesyukuran ke atas kenikmatan-Nya yang telah dilimpahkan kurnia-Nya selama ini. Dengan menjadi Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir maka kita sekali gus akan mewujudkan satu kehidupan dalam sebuah negara yang diimpikan iaitu Baldatun Tayyiibatun wa Rabbun Ghafuur demi mengukuhkan lagi ketakwaan dan keimanan pada Allah Allah Subhanahu Wa’tala.
Baginda Sultan menyarankan supaya sikap mengingati Allah Allah Subhanahu Wa’tala dan berzikir itu menjadi amalan dan ‘mendarah daging’ pada kehidupan masyarakat Brunei.
Menurut Baginda berzikir membolehkan rakyat dan penduduk negara ini akan terus kekal menikmati kemakmuran dan keamanan yang diacuankan dengan nilai-nilai Melayu Islam Beraja.
Inilah sebenarnya konsep negara zikir dalam kehidupan amalan falsafah Negara Melayu Islam Beraja yang itu senantiasa mengingat dan mensyukuri nikmat Allah Subhanahu Wa’tala supaya dapat mewujudkan sebuah kehidupan yang aman damai yang senantiasa diredhai dan dilindungi oleh Allah Subhanahu Wa’tala.
Oleh itu, kita hendaklah mengambil iktibar dan pengajaran dari beberapa peristiwa sejarah masa lampau yang diceritakan dalam Kitab suci Al-Quraan (antaranya kisah penduduk Saba’ dalam Al-Quran, Surah Saba’ Ayat 15,16 dan 17) dan juga peristiwa-peristiwa dalam era zaman moden masa kini.
Misalnya dalam beberapa tahun kebelakangan ini, negara-negara luar di dunia senantiasa menerima malapetaka dan bencana seperti tsunami, banjir, taufan, gempa bumi, tanah runtuh, kemarau dan sebagainya bahkan juga masalah pergolakan politik, kemelutan ekonomi dan permasalahan sosial. Pada hakikatnya sebagai umat Islam kita patut menerima perkara ini sebagai dugaan dari Allah Subhanahu Wa’tala dengan penuh kesabaran kerana qada dan qadar itu datang daripada Allah Subhanahu Wa’tala.
Ingatlah, setinggi mana pun kemajuan serta kecanggihan sain dan teknologi yang dimiliki oleh manusia, namun kita tidak akan mampu untuk menolak atau melawan takdir serta ketentuan dari Allah Subhanahu Wa’tala sebaliknya menerima dengan penuh kesabaran. Sebagaimana titah Baginda Sultan sempena menyambut tahun baru Hijrah 1433 hijrah bersamaan 2012 Masihi:
“Pada hemat Beta, tidaklah berlaku sesuatu ini melainkan ada dengan sebab-sebabnya, termasuklah segala fenomena kejadian di muka bumi ini, ia tidak berlaku dengan sendirinya, sebagaimana yang disangkakan oleh setengah pihak.
Ia berlaku dengan kehendak Allah jua, supaya timbul rasa insaf di hati manusia dan segera akan bertaubat kepada-Nya. Inilah dia hikmah disebaliknya kejadian-kejadian pahit tersebut.
Kalaulah kita mahu untuk mengambil pengajaran daripadanya, nescaya ada harapan untuk kita akan selamat daripada sebarang mala petaka, berdasarkan Allah itu sangatlah menyayangi para hamba-Nya yang taat dan membenci mereka yang derhaka.
Perkara ini, rasa-rasanya telah pun menjadi kenyataan kepada kita di bumi yang bertuah ini, Negara Brunei Darussalam, di mana dengan kurnia Allah jua, kita telah dan sedang menikmati keamanan, keselamatan dan kemakmuran yang berpanjangan, yang tidak dinikmati oleh orang lain.
Kerana itu, azam beta adalah semakin kuat, untuk menjadikan Brunei Darussalam ini benar-benar sebuah ‘Negara Zikir’ yang mendaulatkan hukum dan undang-undang syariat Allah di dalamnya, dengan akhlak mulia menjadi pakaiannya, di samping juga pandai menghormati jiran dan ikhlas menghulurkan tangan kepada semua sahabat dan rakan di seluruh jagat ini.
Oleh itu, ambillah iktibar dan pengajaran dari sejarah, kerana sejarah itu adalah guru yang tidak pernah berbohong, rujuklah sejarah sebagaimana titah Baginda Sultan.
Lagipun berdasarkan senario sejarah yang berlalu dalam era globalisasi ini kenyataannya dugaan dan ketentuan dari Maha Pencipta akan senantiasa berlaku sebagaimana peristiwa gempa bumi dan tsunami yang melanda Samudera Hindia dan telah menimpa sejumlah kawasan di 14 negara, termasuk Aceh,Indonesia pada 26 Disember 2004.
Ini adalah salah satu bencana alam terbesar yang berlaku di dunia. Di Acheh dianggarkan lebih daripada 200,000 orang menjadi korban dan puluhan bandar dan kota musnah dilanda oleh banjir tsunami dalam masa sekelip mata sahaja. Semoga pengalaman pahit yang dialami oleh setengah masyarakat dunia ini menjadi pengajaran dan tauladan pada kita untuk lebih mendekati diri pada Allah Subhanahu Wa’tala dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan perkara yang menjadi kemurkaan-Nya.
Alhamdulillah, penulis dan rombongan dari Negara Brunei Darussalam telah berkesempatan mengunjungi dan menziarahi ke tempat-tempat yang pernah dilanda oleh tsunami di Acheh pada tahun 2004 malah telah mendengar cerita-cerita yang menyayat hati dari mangsa-mangsa Tsunami yang masih hidup.
Semuanya ini membuktikan kebesaran Allah Subhanahu Wa’tala supaya hambanya sentiasa berzikir kepada-Nya. Malah kesan-kesan tsunami tersebut telah meninggalkan rasa keinsafan dan kesedaran untuk meningkatkan lagi ketakwaan dan keimanan pada Allah Subhanahu Wa’tala. Semoga negara ini kita senantiasa dilindungi dan dipelihara oleh Allah Subhanahu Wa’tala. Aamiin.