PULAU PAPAN – Masyarakat Sofyan Sabi yang tinggal di laut telah menangkap ikan di bawah ombak di luar pantai Indonesia selama berabad-abad, tetapi perubahan iklim dan penangkapan ikan yang berlebihan telah memaksa dia dan ramai rakan seangkatannya untuk mencari rezeki di darat.
Nelayan suku Bajau itu telah menjalani kehidupan berpindah-randah di laut sejak turun-temurun, menghabiskan siang dan malam di atas bot beratap jerami di perairan antara Indonesia, Malaysia dan Filipina.
Ahli-ahli puak itu belajar menyelam sejak dari kecil, dan badan mereka telah menyesuaikan diri dari semasa ke semasa untuk membolehkan mereka memancing di bawah air bagi tempoh yang lebih lama, kata penyelidik.
Tetapi bagi ratusan puak Bajau yang tinggal di perkampungan kecil Pulau Papan di Indonesia, cara hidup nenek moyang mereka yang unik telah pupus.
“Kami bertukar pekerjaan. Kami adalah nelayan yang bekerja di ladang. Bercucuk tanam memberikan pendapatan lebih baik kerana banyak tanaman yang boleh saya tanam,” kata Sofyan sambil menambah dia memiliki tanah seluas dua hektar berhampiran untuk menanam jagung dan pisang.
“Kadang-kadang kami tidak memperoleh apa-apa dengan pergi ke laut. Kadang-kadang ada ikan, kadang-kadang tidak ada,” kata lelaki berusia 39 tahun itu kepada AFP.
Dilatih untuk menahan nafas di dalam air antara 10 dan 15 meter sejak kecil, Sofyan masih turun ke pinggir laut untuk mencari gamat atau sotong yang boleh menjana pendapatan sehingga 500,000 rupiah.
Penyelidik menyumbang keupayaan Bajau untuk menyelam lebih dalam dan lebih lama kepada kemungkinan mutasi genetik yang telah memberikan mereka limpa yang lebih besar, membolehkan darah mereka menyimpan lebih banyak oksigen.
Tetapi penangkapan ikan yang berlebihan secara komersial dan peningkatan suhu menyebabkan tangkapan hasil laut semakin tidak dapat diramalkan, kata Wengki Ariando, seorang penyelidik di Universiti Chulalongkorn Thailand yang telah mempelajari adat resam Bajau.
“Mereka berdepan dengan sumber laut yang semakin berkurangan,” katanya.
Apabila suhu meningkat, migrasi ikan dan corak mengawan berubah, batu karang mengalami proses pemutihan dan rantai makanan berubah.
Lebih separuh daripada 11 kawasan pengurusan perikanan di Indonesia kini disenaraikan sebagai dieksploitasi sepenuhnya.
Bekalan stok ikan negara (Indonesia) turun daripada 12.5 juta tan metrik pada 2017 kepada 12 juta pada 2022, menurut data Kementerian Perikanan.
“Ikan semakin berkurangan kerana terlalu ramai orang menangkapnya,” kata Arfin, nelayan berusia 52 tahun.
MATA PENCARIAN BERUBAH
Sebuah jeti usang sepanjang satu batu membawa pengunjung menyusuri perairan biru ke Pulau Papan.
Davlin Ambotang, yang tinggal di pulau itu, berkata orang Bajau mula menetap di sana tiga generasi lalu.
“Mereka melihat pulau itu sesuai untuk membina rumah, jadi mereka menetap di sana. Tidak perlu lagi merantau, berpindah-randah,” katanya.
Namun kehidupan di darat mempunyai cabarannya yang tersendiri.
Adik-beradik Davlin menjalankan peniagaan inap desa untuk lawatan pelancong.
Dia mengadu bahawa pihak berkuasa mengarahkan pengunjung tidur di kotej yang dibina kerajaan dan bukannya membantu perniagaan Bajau berkembang.
“Tiada pendapatan tambahan untuk rakyat. Kerajaan mengawal segala-galanya,” kata Sofyan.
“Banyak pertengkaran yang tercetus antara mereka dan penduduk tempatan.”
Puak Bajau yang telah lama tidak bernegara semakin banyak menetap di kampung-kampung seperti Pulau Papan dalam usaha mendapatkan pengiktirafan kerajaan.
“Orang Bajau menukar mata pencarian mereka kerana untuk diterima sebagai rakyat di Indonesia mereka perlu menetap,” kata Wengki sambil menambah usaha untuk mendaftarkan mereka secara rasmi bermula pada 1990an di bawah Presiden Suharto.
KESUKARAN DI DARAT
Perahu kayu kelihatan terdampar di pinggir pulau, sementara laluan pejalan kaki utama membelahnya, terpecah ke sisi jeti.
Kampung itu menempatkan sebuah masjid berkubah perak.
Di gelanggang sementara, wanita bermain bola tampar, manakala sekumpulan lelaki duduk di sekeliling menghisap rokok.
“Generasi muda, mereka kelihatan seperti kehilangan identiti mereka,” kata Wengki.
“Mereka lebih seperti komuniti di darat.”
Dengan akses Internet tersedia di darat, orang Bajau telah menubuhkan kumpulan di media sosial dengan beribu-ribu pengikut, membantu satu sama lain dalam masalah-masalah mereka.
“Tidak ada pembangunan, langsung tidak ada apa-apa. Ada sumbangan dari kerajaan daerah, setiap keluarga dapat dua hingga tiga kampit beras setiap bulan,” kata Tirsa Adodoa, seorang suri rumah berusia 20an yang suaminya seorang nelayan.
“Tidak cukup kalau kami hanya bergantung pada tangkapan sotong. Kalau harga sotong turun macam sekarang ni, tidak cukup untuk kami makan atau beli barang.”
Namun yang lain teringin melihat orang nomad mengekalkan kehidupan mereka sebagai pelaut, bimbang generasi akan datang tidak akan menjalani kehidupan seperti nenek moyang mereka yang tinggal di bot.
“Sebaik sahaja mereka berasa selesa, tidak mudah untuk mereka kembali ke laut,” kata Muslimin, seorang nelayan berusia 49 tahun.
“Saya harap mereka boleh bekerja hanya sebagai nelayan, kerana ia menyeronokkan. Terdapat terlalu banyak kesukaran di darat.” – AFP