BELURAN, 27 Jan – Komuniti nelayan akan terus didedahkan dengan aspek keselamatan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dalam usaha meminimakan mereka daripada menjadi mangsa jenayah rentas sempadan termasuk culik.
Komander Esscom DCP Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata agensi itu melihat komuniti nelayan dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) sebagai golongan yang sentiasa berisiko menjadi mangsa culik. Berikutan itu, katanya, nelayan perlu didedahkan dengan aspek keselamatan dan langkah yang perlu mereka ambil untuk meminimakan mereka daripada menjadi mangsa kumpulan penculik selain menjadi penyalur maklumat.
Menurutnya pasukan keselamatan termasuk Esscom telah mengambil pelbagai langkah tetapi ia perlu juga didedahkan kepada nelayan kerana sumbangan mereka menjadi penentu dalam menjayakan rancangan itu.
“Dalam konteks keselamatan, perlu ada dua pihak iaitu pasukan keselamatan menentukan keadaan keselamatan dan nelayan pula diperlukan untuk menyalurkan maklumat.
“Penyaluran maklumat yang cepat kepada pasukan keselamatan membolehkan tindakan pantas diambil dan ini dapat meminimakan peluang penjenayah melakukan jenayah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pertemuan Esscom dengan Komuniti Nelayan Daerah Beluran di Kampung Kolapis di sini, hari ini. Wan Abdul Bari berkata usaha mendekati komuniti nelayan itu dilaksanakan menerusi sesi penerangan dan pertemuan dengan mereka yang membabitkan semua pegawai pengurusan Esscom.
Katanya cara itu membolehkan masyarakat mengetahui langkah yang diambil pasukan keselamatan, sekali gus menangkis pandangan negatif terhadap pasukan keselamatan. – Bernama