LOURIZAN, SEPANYOL – Mereka bertebaran dalam kumpulan, kebanyakannya kaum wanita, memakai but hujan meredah pasir basah yang dipenuhi air di teluk, memanfaatkan sepenuhnya air surut.
Bekerja membawa pencakar dan baldi, mereka berbual dan ketawa riang. Mereka adalah penggali kerang, atau apa yang mereka gelar diri mereka sendiri, ‘petani di laut.’
Berwajah kemerah-merahan disebabkan angin pantai dan kerja keras, mereka memakai tudung atau skarf kepala berwarna-warni dan pakaian rumah biasa, dengan pemandangan landskap lukisan minyak yang sempurna berlatarkan langit biru dan awan putih yang bergelombang.
Mengumpul kerang di kawasan teluk yang luas di wilayah barat laut Sepanyol di Galicia merupakan tradisi yang berakar umbi dan diturunkan dari generasi ke generasi.
“Ibu saya menjadikan saya pengumpul kerang,” kata Mari Carmen Vázquez, 57, ketua kesatuan kolektif pengumpul kerang teluk Lourizan. “Tidak adanya masa depan lain.”
Pada masa lalu, wanita kampung Lourizan akan mencari kerang di pasir yang basah manakala suami mereka pergi ke laut, selalunya selama beberapa bulan pada satu-satu masa.
Dua teknik yang amat asas digunakan: Satu ialah dengan menggunakan alat pencakar untuk mengaut pasir lembik, dan baldi untuk mengumpul seberapa banyak kerang mungkin.
Pengumpul lain memakai neoprena kalis air atau pakaian memancing sungai dan mengharungi air sejuk sedalam paras pinggang lebih jauh dari kawasan teluk. Mereka menggunakan pencakar yang disambungkan pada sangkar logam untuk mengikis dan menapis pasir dari dasar laut sebelum membawa naik hasil tangkapan.
Penggali berkenaan dibenarkan bawa pulang kira-kira 10 kilogram dalam jumlah keseluruhan dua jenis kerang yang berbeza setiap hari. Pasang surut dan cuaca menentukan bila mereka boleh bekerja, tetapi terdapat juga tempoh apabila pencemaran air memaksa larangan dikenakan ke atas penangkapan kerang.
Hari ini, mereka mengakui semua jenis kerang semakin berkurangan, mungkin disebabkan perubahan iklim.
Pengumpul menjual hasil tangkapan mereka di pasar ikan bandar dari mana ia diedarkan kepada penjual ikan di seluruh negara sebelum berakhir sebagai hidangan mahal di restoran dan rumah.
Ladang kerang diisi semula secara berterusan dengan menyemai, atau menanam anak kerang yang tidak boleh dijual.
Kawasan yang sudah dituai ditutup untuk membolehkan ia pulih, sekali gus mengekalkan industri kitaran dan mampan.
Wanita berkenaan menceritakan bahawa beberapa dekad yang lalu, pekerjaan itu lebih sukar, tanpa pakaian pelindung dan tiada jaminan sosial untuk mengganti tempoh yang tidak mempunyai pendapatan.
Ramai daripada mereka tidak tahu berenang.
“Ia dipandang rendah. Tiada orang yang mahu melakukannya,” kata Fatima Seoane, 52, yang membantu ibu dan neneknya ketika dia masih kecil. “Orang ramai memanggil kami pencari barang buangan.”
Pada masa kini, pekerjaan mereka dikawal selia dan mereka dijamin mendapat upah, memberikan mereka sedikit kebebasan ekonomi – sehinggakan terdapat senarai menunggu untuk permit yang boleh mengambil masa bertahun-tahun untuk diperoleh.
Nelayan kerang bekerja kira-kira tiga jam sehari selama 15 atau 16 hari sebulan.
Secara purata mereka membawa pulang 100 euro (AS$107) untuk satu syif, bergantung pada harga pasaran.
“Saya tidak akan menukar kerja ini untuk yang lain,” kata Seoane.
“Ia sangat selesa kerana tiada bos, kami boleh bergurau ketawa, awda bekerja mengikut rentak awda sendiri dan apabila awda mahu berehat, awda berehat.” – AFP