SYDNEY, 20 APRIL — Seorang nelayan maut selepas dihanyutkan ombak ketika memancing di kawasan berbatu berhampiran Sydney hari ini, menjadikan jumlah korban lemas sepanjang cuti hujung minggu Easter meningkat kepada enam orang, ketika ombak besar terus membadai pesisir timur Australia.
Perkhidmatan kecemasan berjaya menemukan dua individu dari laut di Pantai Wattamolla, namun salah seorang daripadanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, menurut kenyataan Polis New South Wales.
Kedua-dua mangsa sedang memancing apabila dihempas ombak di kawasan berbatu di pinggir selatan Sydney. Mangsa kedua, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun, dilaporkan berada dalam keadaan stabil di hospital.
Insiden ini menambah kepada siri tragedi lemas sepanjang cuti Easter, dengan dua lagi individu masih hilang di laut sejak Jumaat – satu di perairan berhampiran Sydney dan satu lagi di Melbourne.
Surf Life Saving Australia (SLSA) telah mengeluarkan amaran pada Khamis mengenai ombak besar yang dijangka mencetuskan keadaan laut berbahaya di sepanjang pantai New South Wales dan Victoria.
Tiga orang dilaporkan lemas di New South Wales pada Jumaat, manakala seorang wanita maut dan seorang lelaki masih hilang selepas dihanyutkan ombak di kawasan berhampiran Melbourne.
Kelmarin, ketika ombak setinggi 3.5 meter dilaporkan di beberapa lokasi, seorang lagi nelayan maut selepas dihanyut ombak di kawasan berbatu di selatan New South Wales.
Data SLSA yang dikeluarkan sebelum cuti Easter menunjukkan sebanyak 630 kematian telah direkodkan di pantai-pantai yang tidak mempunyai perkhidmatan penyelamat aktif sepanjang 10 tahun lalu.
Ketua Eksekutif SLSA, Adam Weir menasihatkan orang ramai agar mengutamakan keselamatan dengan memilih pantai yang dikawal selia. – AFP
