LIMA, 16 MAC – Seorang nelayan Peru berjaya diselamatkan selepas hanyut di laut selama 94 hari, kata seorang pegawai tentera laut kelmarin, ketika beliau dibenarkan keluar dari hospital selepas menghadapi pengalaman pahit itu.
Maximo Napa, 61, ditemui masih hidup di dalam bot kecilnya pada Selasa lalu selepas dikesan oleh sebuah kapal Ecuador di perairan Chimbote, utara Peru.
Dalam temu bual penuh emosi dengan media tempatan, Napa menceritakan bagaimana beliau bertahan dengan memakan lipas, burung dan seekor penyu.
“Saya tidak mahu mati, demi ibu saya. Saya ada seorang cucu perempuan berusia dua bulan, saya berpegang teguh pada harapan itu. Setiap hari saya teringat ibu saya,” katanya dalam keadaan sebak.
Kelmairn, beliau dibenarkan keluar dari hospital di bandar pantai Paita.
“Napa tiba dalam keadaan fizikal yang baik. Dia boleh berjalan, membersihkan diri, walaupun masih terkesan tetapi sihat secara fizikal,” kata kapten pelabuhan Tentera Laut Peru, Jorge Gonzalez.
Nelayan itu berlepas dari pelabuhan San Juan de Marcona pada 7 Disember lalu, tetapi keadaan cuaca buruk dan arus laut menyebabkan beliau tersesat jauh dari laluan asalnya. – AFP
