JIKA dilihat, Meenakshi Raghavan kelihatan sama sahaja seperti wanita ‘berpangkat’ nenek yang lain memandangkan dia bertutur dengan lembut manakala busana sari pula sentiasa tersarung membaluti tubuhnya.
Begitu pun, persepsi itu berubah saat wanita itu memegang sebilah pedang. Siapa sangka, pada usia 74 tahun, Meenakshi sebenarnya merupakan salah seorang daripada pengamal kalaripayattu iaitu sejenis seni mempertahankan diri paling berpengaruh di India.
Digelar sebagai kalari, seni mempertahankan diri itu menggunakan senjata seperti pedang, besi panjang serta perisai. Meenakshi yang digelar Nenek Pedang itu berkongsi cerita tentang pembabitannya dalam seni mempertahankan diri tersebut. “Saya sudah mengamalkan seni mempertahankan diri kalari sejak 66 tahun lalu,” ujarnya.
Tewaskan lawan
Lebih mengejutkan, wanita berambut panjang itu sering menewaskan lawannya yang rata-rata merupakan lelaki muda. “Lawan saya dalam seni mempertahankan diri kalari ini terdiri daripada lelaki muda yang usianya separuh daripada umur saya,” tambah wanita kelahiran Kerala itu.


Pergerakan Meenakshi yang pantas dan tangkas menggerunkan lawannya, menjadikan wanita itu dianggap sebagai salah seorang daripada legenda kalari di India. Biarpun tangkas dan dianggap kasar kerana melibatkan diri dengan kalari, Meenakshi masih lagi merupakan seorang wanita biasa yang penuh sifat lemah lembut.
“Ramai yang terkejut apabila mengetahui bahawa saya gemar berlawan pedang. Hal ini kerana saya bukanlah seorang wanita yang kasar. Semasa kecil, saya merupakan gadis yang lemah lembut dan amat meminati dunia tarian. Saya belajar menari sejak berusia lapan tahun,” imbau Meenakshi tentang zaman kanak-kanaknya.
Begitu pun, bakat Meenakshi dalam seni mempertahankan diri kalari mula dikesan oleh gurunya yang kemudian memperkenalkan Meenakshi dengan kalari. “Selepas menceburkan diri dengan kalari, saya terus jatuh cinta dengan seni mempertahankan diri itu lalu meninggalkan dunia tarian semasa berusia 10 tahun.
“Saya hanya mengamalkan kalari sehingga sekarang,” ujarnya dalam satu temu bual dengan rancangan milik YouTube, Barcroft TV.
Meenakshi bagaimanapun memberitahu, proses menukar aktiviti pilihannya itu bukanlah proses mudah. Ini kerana di India, golongan wanita sering dihalang daripada menyertai aktiviti mempertahankan diri yang lazimnya didominasi lelaki.
Apatah lagi, seni mempertahankan diri kalari melibatkan penggunaan senjata tajam iaitu pedang. “Melakukan sesuatu aktiviti lasak biasanya merupakan satu cabaran buat wanita memandangkan kami sering dianggap lemah.

“Namun, kalari merupakan aktiviti keluarga dan ia sudah dianggap sebagai satu tradisi keluarga. Oleh itu, saya mendapat sokongan padu daripada ahli keluarga yang sukakan kalari dan daripada situ, terus berlatih dan memantapkan kebolehan yang ada,” tuturnya.
Lebih berani
Meenakshi juga melahirkan rasa bangga kerana hari ini, wanita tidak lagi ditentang untuk melibatkan diri dalam kalari. Kongsi Meenaskhi, sehingga kini, dia sudah mengajar lebih 150 orang pelajar yang rata-ratanya merupakan golongan perempuan.
Wanita itu juga sering berpesan kepada pelajarnya tentang kepentingan seni mempertahankan diri. “Saya sering berpesan kepada pelajar perempuan supaya melibatkan diri dengan kalari. Hal ini kerana ia akan melindungi mereka daripada sebarang perkara buruk.
“Ia juga dapat meningkatkan keyakinan dan keberanian seseorang untuk bergerak sendirian. Jika anda bertanya kepada saya, sejujurnya saya tidak memerlukan pengawal peribadi untuk menjaga saya kerana mempunyai ilmu kalari,” ujarnya.
Meenakshi menambah, dia cukup berbangga apabila melihat gadis muda berminat untuk mempelajari kalari malah ada antara mereka yang bermula seawal usia lima tahun. “Selepas mempelajari kalari, pelajar-pelajar saya sering memberitahu bahawa mereka kini menjadi semakin berani dan ia cukup menggembirakan,” katanya. – Agensi