LOS ANGELES – Bau harum bawang putih dan halia goreng menusuk hidung apabila ia menyelubungi seluruh bilik, manakala barisan kanak-kanak yang gelisah memerhati seorang wanita tua dengan apron biru berpetak-petak memasak di hadapan mereka.
“Semasa saya membesar, ibu saya sering membuat ini,” katanya sambil menunjukkan resipi tumis ayam.
Di ‘Kem Musim Panas Intergenerasi’ di pinggir bandar California Selatan ini, nenek yang bertanggungjawab. Setiap minggu, mereka mengajar sekumpulan kanak-kanak berumur 8 hingga 14 tahun cara memasak hidangan baharu dan membuat kraf tangan seperti menjahit, menyulam, reka bentuk tanah liat dan menandai kad.
“Keterasingan dan kesunyian adalah sesuatu yang dicabar oleh warga emas, dan mereka suka mempunyai orang yang lebih muda di sekeliling mereka,” kata Zainab Hussain, pengurus program di Olive Community Services, sebuah organisasi bukan untung bermatlamat mengumpul orang dewasa yang lebih tua yang menganjurkan kem itu.
Perkhemahan itu diadakan di pusat komuniti di Fullerton, sebuah bandar di Orange County yang menempatkan sebahagian besar penduduk Arab, dan ramai daripada peserta perkhemahan dan nenek berasal dari komuniti tersebut. Di antara aktiviti, bilik kecil itu sibuk dengan gadis-gadis berbual dan menjamah makanan ringan. Beberapa nenek sukarelawan berlegar-legar dan memerhati, puas hati dikelilingi anak-anak muda.





Pada bulan Julai, semasa minggu terakhir perkhemahan, Janna Moten dan rakan-rakannya belajar cara-cara menggunakan mesin jahit dan membuat kantung.
“Perlahan, perlahan-lahan,” tegur seorang nenek ketika Moten menghentakkan kakinya pada pedal mesin, menyebabkan ja-rum itu tersentap ke atas dan ke bawah.
Dia menekan kakinya ke bawah sekali lagi, kali ini dengan berhati-hati, dan berjaya menjahit garis lurus.
“Secara terus-terang, saya di sini hanya untuk makanan,” seloroh kanak-kanak berusia 9 tahun itu. Namun, dia senyum berseri-seri sambil menunjukkan dua helai kain yang dijahitnya sambil membelek-belek dan menterbalikkannya, membentuk poket segi empat tepat.
Moten berkata dia telah berlatih jahitan tangan di rumah selepas mempelajari sulaman pada minggu sebelumnya.
“Menjahit tu agak mudah, cuma sukar untuk mengekalkan garisan lurus,” katanya. Dia menambah bahawa neneknya sendiri bersikap lebih tegas daripada pengajar di kem musim panas.
Haqiqah Abdul Rahim, pengajar jahitan, berkata ramai kanak-kanak tidak lagi mempelajari kemahiran berkenaan di sekolah melalui kelas ekonomi rumah tangga, jadi mereka sedang ‘mengisi jurang.’
Dia berdiri di hadapan bilik pada permulaan aktiviti, mengangkat pelbagai alatan dan menjelaskan setiap satunya: penggelek jahitan, penembak benang, pemotong kain berputar.
Rahim juga tidak dapat meluangkan banyak masa dengan cucu-cucunya kerana mereka tidak tinggal berdekatan.
“Sungguh mengharukan apabila dapat berinteraksi dengan mereka yang suka berada di sekeliling awda,” kata Rahim.
Kanak-kanak telah mempelajari tentang keselamatan dapur dan cara-cara memasak resipi nenek – seperti mencampurkan rempah dengan air sebelum memasukkannya ke dalam hidangan supaya tidak hangus, atau menggunakan kunyit segar.
Perkhemahan musim panas itu diadakan dengan kerjasama Golden Connections Club, yang dimulakan oleh pelajar sekolah menengah Leena Albinali tahun lepas bertujuan memupuk interaksi antara remaja dan warga emas.
Remaja berusia 14 tahun itu tinggal bersama neneknya tetapi menyedari pelajar lain tidak mempunyai peluang yang sama untuk meluangkan banyak masa bersama datuk dan nenek mereka. Dia juga belajar tentang prasangka disebabkan faktor usia dan cabaran lain yang dihadapi oleh orang dewasa senior dalam salah satu kelasnya.
Pada majlis makan tengah hari bulanan, mereka menjemput warga emas ke sekolah dan membincangkan topik di mana kedua-dua kumpulan boleh belajar antara satu sama lain, kata Albinali.
“Mereka melayan kami seperti kami cucu mereka,” katanya. Remaja berkongsi apa yang mereka tahu tentang kecerdasan buatan dan kesannya terhadap kehidupan mereka, dan orang tua berkongsi kisah kehidupan dan nasihat.
Salah satu perkara paling penting yang telah dikongsi mereka dengannya adalah menjalani kehidupan tanpa kerisauan dan menghargai setiap saat, sesuatu yang membawa makna baharu baginya.
“Orang yang kita ada sekarang, mereka tidak akan bersama kita selama-lamanya,” katanya. – AP

