BEIJING, 10/11 Mac 2012 – Seorang wanita China berusia 95 tahun yang disangka sudah mati mengejutkan jirannya apabila dia bangun semula enam hari selepas dimasukkan ke dalam keranda.
Li Xiufeng ditemui tidak bergerak dan tidak bernafas oleh jirannya dua minggu selepas dia jatuh dan mengalami kecederaan kepala di kediamannya di Beiliu, Wilayah Guangxi. Apabila jiran yang menemuinya itu tidak dapat menyedarkan wanita itu, mereka menyangka dia sudah meninggal dunia.
Dia diletakkan di dalam keranda tanpa dikunci yang disimpan di kediamannya mengikut tradisi Cina, menanti saudara-mara dan teman rapat untuk memberikan penghormatan terakhir.
Namun, sehari sebelum pengebumian, jiran mendapati keranda itu kosong dan kemudiannya menjumpai wanita itu memasak di dapur.
Seorang jiran, Chen Qingwang, 60, yang mula-mula menemui Ziufeng berkata: “Dia tidak bangun, jadi saya datang untuk membangunkannya. Walau betapa kuat saya menggerakkan tubuh dan memanggil namanya. Dia tidak memberikan sebarang reaksi.
“Saya dapat rasakan ada yang tidak kena, jadi saya periksa nafasnya dan mendapati dia sudah tiada. Tetapi tubuhnya ketika itu tidak sejuk.”
Disebabkan Xiufeng tidak bersendirian, Qingwang dan anak lelakinya membuat persediaan untuk upacara pengebumiannya.
Pada hari upacara pengebumiannya, anak lelaki Qingwang tiba di rumah Xiufeng dan mendapati mayatnya sudah hilang sebelum menemuinya sedang memasak. Wanita itu dilaporkan memberitahu penduduk kampung: “Saya terasa begitu lapar dan mahu memasak sesuatu. Saya tolak penutup keranda itu. Saya mengambil masa begitu lama untuk berbuat demikian sebelum dapat keluar dari keranda.”
Ahli perubatan mengatakan Xiufeng telah mengalami ‘kematian buatan’, iaitu apabila seseorang tidak lagi bernafas, tetapi badan tetap panas.