DHIYA memandang sekeliling. Mencari tempat-tempat menarik untuk dirakamkan oleh lensa kameranya. Dia suka memanipulasi alam semula jadi untuk dijadikan sebagai latar belakang setiap gambar pasangan pengantin yang dirakamkannya. Setelah beberapa minit memerhati, pandangan Dhiya berlabuh di sebuah pohon beringin yang kelihatan agak tua. Hatinya merasa tertarik. “Okay. Kita shoot kat pokok tu pulak,” arah Dhiya kepada kedua pasangan baru berkahwin itu. Pasangan pengantin itu mula teragak-agak. “Kat pokok beringin tu?” tanya Helmi. Dhiya memandang lalu mengangguk.
“Ya. Sana. Jom!” ajak Dhiya sambil jari telunjuknya menunjuk lurus ke arah pohon beringin itu. Yana menggeleng ketakutan. Berkerut kening Dhiya melihat gelengan Yana. Apa yang tidak kena dengan pasangan itu? Sedari tadi mereka bekerjasama tidak ada sebarang masalah yang timbul. Kenapa sekarang mereka enggan bekerjasama pula? Tambahan pula sesi penggambaran petang itu sudah hampir selesai. Sebelum Maghrib menjelang, Dhiya mahu segera menghabiskan sesi penggambaran hari itu.
“Why? What’s wrong?” tanya Dhiya tidak mengerti. Jelas terpancar ketakutan di wajah Yana dan Helmi. Tidak lama kemudian, Yana menarik tangan Dhiya dan berjalan agak jauh dari pohon beringin itu. Walaupun bingung, Dhiya hanya menurut. Helmi turut serta bersama Dhiya dan isterinya, Yana. “Dhiya, listen carefully. Bukan kami tak nak shoot kat pokok tu. Tapi,” kata-kata Yana terhenti dek keluhan yang amat berat.
“Pokok tu keras dan berpenunggu. Tak ada sesiapa pun dibenarkan dekati pokok tu. Lagipun, penunggu tu mesti akan marah kalau kita shoot kat situ,” jelas Yana bersungguh. Helmi turut mengangguk membenarkan kata Yana. Dhiya bingung. Dia sememangnya kurang pengalaman dunia paranormal. Jadi, dia agak sukar untuk mempercayai kata-kata Yana. Namun, disebabkan kampung itu kampung halaman tempat Yana dan Helmi membesar, mereka pasti lebih tahu sejarah kampung itu.
Dhiya merasa tidak berpuas hati dengan apa yang diperkatakan Yana. Malah, dia merasakan cerita yang disampaikan oleh Yana kepadanya berkenaan penunggu pohon beringin itu hanyalah dongengan orang tua belaka. Setelah selesai mengambil gambar terakhir Helmi dan Yana, Dhiya sempat pergi ke pohon beringin itu. Dia mengambil beberapa keping gambar pohon beringin itu sebelum pulang ke Homestay tempat dia menginap. Tujuannya mengambil gambar pohon beringin itu cuma satu, dia mahu pastikan samada benar atau tidak di pohon itu terdapatnya penunggu seperti yang dikatakan Yana. Jika penunggu itu wujud, pasti gambarnya juga wujud di dalam gambar yang dirakamnya itu.
Walaupun sesi pengambaran bersama Helmi dan Yana sudah selesai, Dhiya merasakan ingin menetap selama tiga hari lagi di Kampung Beringin itu. Dhiya tinggal di ‘Hutan Batu’. Jadi, apabila sekali-sekala merasakan kehidupan di kampung yang nyawan dan mendamaikan, sudah tentu dia seronok dan ingin menginap lebih lama.
Setelah membersihkan badan, Dhiya memulakan rutinnya memilih dan mengedit gambar terbaik yang telah dirakamnya. Dhiya membuka suis komputer ribanya lalu mencapai kamera DSLR miliknya. Sebaik sahaja menyentuh kamera itu, tiba-tiba sahaja angin yang amat sejuk berhembus menembusi tulang-temulang Dhiya. Belum pernah dia merasakan angin sedingin itu sehingga menyebabkan semua bulu romanya tegak berdiri. Suis kipas dimatikan dek kerana suasana sekitar biliknya yang tiba-tiba sahaja menjadi sejuk beku. Dhiya segera menyelimuti keseluruhan tubuhnya dengan selimut tebal.
Dhiya mencuba untuk menyalin semula. Namun, gagal. Hanya tiga fail sahaja berjaya disalin. Kening milik Dhiya mula berkerut aneh. Tidak pernah kejadian seperti itu berlaku kepadanya sebelum ini. Dhiya mencuba sekali lagi. Keputusannya masih sama, gagal. Keluhan berat mula keluar dari mulut Dhiya.
“Apa masalahnya ni. Kenapa tiga gambar ni je boleh copy. Gambar apa ni?” rungut Dhiya. Dia membuka tiga fail gambar yang berjaya disalin itu. Tatkala membuka fail gambar yang pertama, Dhiya baru teringat dia ada merakamkan gambar pohon beringin yang berhampiran dengan rumah pasangan pengantin itu petang tadi. Dia membuka fail gambar kedua, juga gambar pohon beringin itu. Namun, apabila fail gambar ketiga dibuka, Dhiya terkejut besar. Mulutnya ditekup dek perasaan terkejut dan takut. Kelihatan jelas figura seorang perempuan tua berbaju putih, berambut putih, bermata merah semerah biji saga dan memegang tongkat. Dhiya tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
“Si. Siapa ni?” bisik Dhiya dalam ketakutan. Dia pasti ketika dia merakamkan gambar pohon itu, tidak ada sesiapapun berdiri di hadapan pohon itu. Tetapi, siapa pula figura itu? “Akuuuuu,” kedengaran suara halus berbisik di telinga Dhiya. Jantung Dhiya bagaikan ingin meletup saat itu. Siapa. Siapa yang berbisik di telinganya? Sebaik sahaja suara halus tu berbisik, komputer riba milik Dhiya tiba-tiba sahaja mati. Begitu juga dengan kamera DSLR miliknya itu. Dhiya kaget. Kedua-dua gadjetnya itu berfungsi dengan baik sahaja tadi, bagaimana tiba-tiba boleh mati pula? Lampu biliknya juga terpadam. Dalam keadaan yang gelap gelita itu, tingkap bilik yang tertutup rapat sedari tadi juga tiba-tiba sahaja terbuka luas. Dhiya menoleh kaget. Angin sejuk menderu masuk menampar dingin pipi Dhiya. Seluruh tubuhnya menggeletar ketakutan. Airmatanya mengalir laju. Dia menyelimuti seluruh tubuhnya. Matanya dipejamkan cuba mengingati ayat-ayat al-Quran yang pernah dihafalnya. Bacaannya tunggang-langgang dek ketakutan yang menggigit setiap tubuhnya.
Tiba-tiba selimut yang menyelimuti tubuhnya, ditarik kuat. Dhiya terkejut. Airmatanya mengalir kian laju. Matanya dipejam erat. Apa jua yang ada dibiliknya itu, dia tidak mahu melihatnya. Dia takut. Dia benar-benar takut. “Kenapa pejam mata? Takut?” suara halus itu menerjah pendengarannya. Dhiya menekup telinganya. Mulutnya terasa kebas untuk berbicara. Dia menangis sekuat hatinya. Tatkala itu dia tidak mahu membuka matanya, namun bagaikan ada satu tarikan magnet membuka kelopak matanya. Figura nenek tua itu kini benar-benar berada di hadapannya. Dhiya terpaku. Nenek tua itu tersenyum sinis memandangnya yang sedang ketakutan.
“Pohon beringin dahannya rendang. Ehehehehehehehe,” nenek tua itu berlagu sambil disambung dengan hilai tawa. Airmata Dhiya mengalir ketakutan. Dia benar-benar terpaku saat itu, tubuhnya tidak boleh bergerak. Bagaikan disuntik dengan ubat kebas. “Tadi kata nak jumpa. Sekarang takut? Ehehehehehehehe,” nenek tua itu terus berbicara. Dhiya terus membeku. Perasaannya saat itu hanya Tuhan sahaja yang tahu. Dia menguatkan hatinya untuk terus membaca ayat-ayat suci al-Quran. Tidak lama kemudian, nenek tua itu berterbangan mengelilingi Dhiya.
“Ehehehehehe Ehehehehe-hehe,” hilai tawa nenek tua itu berterusan membuatkan Dhiya semakin dibunuh ketakutan. “To. To. Tolonglah. Aaa. Aaa. Apa kau nak?” akhirnya Dhiya memberanikan diri untuk berbicara. Nenek tua itu berhenti berterbangan lalu berdiri betul-betul berhadapan Dhiya.
Jarak mereka hanya satu lengan sahaja. Wajah nenek tua itu bertukar bengis.
“Gambar rumah aku. Aku nak kau buang! Buang!” jerkah nenek tua itu bengis. Jantung Dhiya bagaikan mahu terkeluar di situ juga. Namun begitu, Dhiya kurang faham apa yang dimaksudkan nenek tua itu dengan gambar rumahnya. “Gaa. Gambar aaa. Apa?” tergagap-gagap Dhiya bertanya. Nenek tua itu tersenyum sinis. Tidak semena-mena, komputer riba Dhiya bernyala semula. Dan secara automatik, tiga gambar pohon beringin itu diulang-ulang tayang. “Pokok tu keras dan berpenunggu. Tak ada sesiapa pun dibenarkan dekati pokok tu. Lagipun, penunggu tu mesti akan marah kalau kita shoot kat situ.”
Kata-kata Yana petang tadi melintasi fikiran Dhiya. Sekarang Dhiya mengerti, apa yang diperkatakan Yana benar. Sekarang, penunggu pohon itu sudah marah kerana sikap kurang ajarnya. Dialah yang bersalah. “Ya. Baa. Baiklah. Aaa. Aku padam. Aaa. Aku minta maaf,” pinta Dhiya sepenuh hati. “Ehehehehehehe. Aku nak kau hidang pulut kuning dan tiga biji telur sebagai tanda maaf. Ehehehehehe,” balas nenek tua itu. Dhiya enggan menurut permintaan nenek tua itu. Kerana semua perbuatan itu perbuatan Khurafat dan Syirik.
“Taa. Tak nak! Aku takkan bagi Syaitan makan!” jerit Dhiya. Setelah beberapa ketika membaca ayat-ayat suci al-Quran, dia semakin beroleh kekuatan untuk melawan nenek tua itu. Dia semakin berani. Wajah nenek tua itu kembali bengis. “Kalau macam tu, aku akan terus kacau kau. Hahahahahahaha. Hehehehehehe,” ujar nenek tua itu dengan hilai tawa. Dhiya menangis. Dia berdoa agar Allah memberinya jalan keluar.
“Aaa. Allah! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!” tiba-tiba sahaja terlintas di fikiran Dhiya untuk bertakbir. Selepas takbir ketiga, nenek tua itu tiba-tiba lenyap. Dan setelah itu, Dhiya cuba berjalan keluar dari Homestay tersebut namun rebah lalu tidak sedarkan diri.
“Dhiya. Dhiya,” panggil Yana. Dhiya merasakan kepalanya sengal. Seluruh tubuhnya kesakitan. Perlahan dia membuka matanya. Dalam kesamaran, dia lihat Yana tersenyum kepadanya. Di manakah dia? “Syukur Alhamdulillah, Dhiya dah sedar,” ucap Yana lega. Yana membantu Dhiya untuk bangun. Dhiya memegang kepalanya yang sakit. Di situ bukan hanya Yana seorang sahaja. Malah ada Helmi dan sepasang suami isteri berumur lewat 40-an sedang tersenyum memandangnya. Siapakah pasangan suami isteri itu? “Saa. Saya kat mana? Kenapa dengan saya?” ujar Dhiya lemah.
“Kita sekarang di rumah ustaz Manaf dan puan Hayati. Pagi tadi, masa Yana nak datang hantar sarapan kat Dhiya, Yana jumpa Dhiya pengsan depan pintu Homestay. Yana bawa balik rumah. Tapi, lepas tu Dhiya meracau-racau tak sedarkan diri. Itu yang petang ni Yana dengan Helmi bawa Dhiya ke rumah ustaz Manaf untuk berubat,” terang Yana panjang lebar. Dhiya hanya mendengar lemah. “Kenapa dengan saya ustaz? Kenapa saya meracau?” tanya Dhiya ingin tahu. Ustaz Manaf tersenyum.
“Tak ada apa. Awak cuma mengalami gangguan sahaja. Saya difahamkan, gangguan itu datangnya daripada kesilapan awak sendiri. Awak kacau privasi hidup dia. Dia marah. Tapi tak apa. Semuanya dah pulih. Gambar dalam kamera awak pun dah dipadamkan,” terang ustaz Manaf tanpa berselindung. Dhiya sesal. “Terima kasih, ustaz,” ucap Dhiya dengan linangan airmata menyedari kesilapannya. Ustaz manaf tersenyum.
Dhiya mengucup kitab suciAl-Quran itu setelah selesai membacanya. Jiwanya tenang. Dia benar-benar menyesali sikapnya yang sinis terhadap sesuatu yang ghaib. Sedangkan semuanya Allah telah nyatakan dalamAl-Quran bahawa semua makhluk itu wujud cuma kebanyakan manusia sahaja yang tidak nampak. Ketika sedang melipat telekung, telinga Dhiya menangkap sesuatu. Bunyi itu sayup-sayup kedengaran ditelinganya. Dia cuba mengamati apakah bunyi itu. “Hmmmmmmmm.”
Lama-kelamaan, Dhiya dapat merasakan ada sesuatu yang sedang memandangnya dari arah tingkap dua pintu yang berada betul-betul di belakangnya.Bulu roma Dhiya tegak berdiri.Dia mengenggam erat kitab suci Al-Quran yang dipegangnya sedari tadi. Dengan kekuatan dari kitab Allah itu, perlahan Dhiya berpaling ke arah belakang. “Allahhu Akbar!” terpacul takbir itu dibibir Dhiya sejurus dia melihat lembaga si Nenek Pohon Beringin itu.
Nenek itu memandang Dhiya dalam keadaan mencangkung dan mata yang merah menyala. Kedengaran sekali sekala dia mendengus kasar. Tiba-tiba, dia cuba bangun dan ingin menerpa ke arah Dhiya. “Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahhu Akbar!” jerit Dhiya kuat sambil menghalakan kitab Al-Quran dipegangnya ke arah lembaga Nenek yang ingin menerkamnya itu. Matanya terpejam erat. “Dhiya, kenapa ni?” tanya puan Hayati cemas.
Dhiya terduduk lemah. Namun kitab Al-Quran itu masih lagi terangkul kemas di dalam pelukannya. Dia menangis tersedu-sedan. Puan Hayati yang segera faham dengan keadaan itu lantas memeluk tubuh Dhiya sambil bibirnya mengalun zikrullah. “Tak apa, Dhiya. Dia cuma datang sekejap aje. Lepasni, dia tak akan datang lagi. In Sha Allah. Dia dah pergi dan tak akan ganggu Dhiya lagi,”pujukpuan Hayati lembut. “In Sha Allah. Mudah-mudahan dia dah pergi untuk selamanya. Amiin. Terima kasih ya Allah,” ucap Dhiya setelah sedikit tenang sambil mengusap airmatanya.