Sunday, October 6, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nepal bersihkan puluhan tan sisa di Himalaya

    ISTANBUL, 7 JUN – Nepal telah mengumpul 11,000 kilogram sisa dari Gunung Everest, Lhotse dan Nuptse, kata tentera negara itu.

    Empat mayat manusia dan satu rangka manusia juga dikumpulkan bersama 2,226 kilogram sisa boleh biodegradasi dan 8,774 kilogram sisa tidak boleh terbiodegradasi sebagai sebahagian daripada kempen Bersihkan Himalaya, menurut kenyataan tentera pada Rabu, lapor agensi Anadolu.

    Menyatakan kegembiraannya dalam menamatkan kempen pada Hari Alam Sekitar Sedunia, Ketua Staf Tentera Nepal, Prabhu Ram Sharma menekankan keperluan untuk mematuhi dasar sedia ada dengan ketat untuk mengelakkan pencemaran di gunung pada masa depan.

    Beliau juga menekankan pentingnya mewujudkan kesedaran dari peringkat pusat hingga ke akar umbi, dengan menyatakan kempen sedemikian tidak dapat diselesaikan oleh tentera Nepal sahaja.

    Kempen tahun ini menandakan edisi kelima kempen, yang dilancarkan pada 2019. Setakat ini, inisiatif itu telah mengumpul 119 tan sisa dan menemukan 14 mayat manusia serta beberapa rangka.

    Sekurang-kurangnya tiga pendaki disahkan maut di gunung tertinggi dunia itu pada musim ini, ketika ratusan pendaki berusaha untuk sampai ke puncak. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda