Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nepal, India kerjasama cari mayat hilang tragedi bas hanyut

    KATHMANDU, 17 JULAI – Pihak berkuasa tempatan sedang berkerjasama dengan pegawai sempadan daerah India untuk mencari mayat dalam kemalangan Simaltal, di mana tanah runtuh menghanyutkan dua bas ke dalam Sungai Trishuli pada Jumaat lalu.

    Pencarian dijalankan antara pihak berkuasa negeri Uttar Pradesh dan Bihar di India selepas beberapa mayat orang hilang ditemui di tebing sungai Narayani berhampiran sempadan India.

    Pihak berkuasa Nepal percaya sungai yang dinaiki air mungkin menghanyutkan mayat ke India.

    Ketua Pegawai Daerah (CDO), Chitwan Indradev Yadav berkata mereka sedang menyelaras dengan pembesar daerah Maharajgunj di Uttar Pradesh dan Champaran Barat di Bihar. Kedua-dua majistret telah diminta untuk memaklumkan pihak berkuasa Nepal jika mereka menjumpai apa-apa di sungai itu, tetapi belum ada mayat ditemui.

    Sementara itu, anggota penyelamat telah menggunakan kamera sonar untuk mencari mangsa yang hilang dan serpihan dua bas berkenaan.

    Menurut Penguasa Polis Janak Puri di Sekolah Latihan Pengurusan Bencana di Kurintar, mereka menggunakan kamera berteknologi tinggi baharu itu sejak Isnin lalu.

    Bagaimanapun, mengendalikan bot bermotor itu sukar apabila arus air sangat deras, katanya sambil menambah bahawa mereka akan mencari sejauh Golaghat, 50 km ke hilir dari lokasi kejadian.

    Sub Inspektor Armed Polis Force (APF), Ramesh Bahadur Thapa, yang telah menghabiskan 12 tahun sebagai penyelam penyelamat di Kurintar, telah bertungkus-lumus mencari penumpang dan bas yang hilang.

     “Kami tidak mempunyai masalah dengan kedalaman sungai. Walau bagaimanapun, memandangkan airnya sangat keruh, jarak penglihatan hampir sifar. Dengan arus air yang begitu kuat, risiko juga meningkat,” kata Thapa.

    Menurut CDO Yadav, 12 penyelam dari Pasukan Polis Bersenjata dan lima dari Tentera Nepal turut dikerahkan untuk mencari.

    Setakat ini, 17 mayat ditemui di tempat berbeza dan identiti 10 mayat telah dipastikan.

    Pasukan petugas yang dibentuk Kementerian Dalam Negeri pada Isnin dijadual melawat lokasi kemalangan kelmarin.

    62 orang telah hilang selepas dua bas penumpang dihanyutkan oleh banjir lumpur ke dalam Sungai Trishuli yang dilanda hujan dekat Simaltal di sepanjang bahagian jalan Narayanghat-Mugling pada kira-kira jam 3:30 pagi Jumaat lalu. – ANN/ The Kathmanadu Post

    Penyelamat sedang menjalankan pencarian. Setakat ini, 17 mayat telah ditemui di tempat berbeza dan identiti 10 mayat telah dipastikan. – ANN/ The Kathmandu Post
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda