KATHMANDU, 17 SEPT – Nepal mengibarkan bendera separuh tiang hari ini sempena hari berkabung negara bagi memperingati 73 orang yang terbunuh dalam protes anti-rasuah yang dipimpin golongan belia sehingga menjatuhkan kerajaan.
Kerajaan sementara yang mengambil alih selepas dua hari protes minggu lalu mengisytiharkan hari berkabung itu ‘bagi menghormati mereka yang terkorban dalam protes,’ menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Protes bermula pada 8 September selepas larangan sementara ke atas media sosial, tetapi kemarahan rakyat tercetus akibat isu rasuah dan masalah ekonomi yang berlarutan.
Sekurang-kurangnya 19 orang terkorban dalam tindakan keras pada hari pertama.
Kemarahan terhadap kematian itu memuncak, mencetuskan gelombang kebangkitan di seluruh negara, dengan pejabat kerajaan, sebuah hotel Hilton dan bangunan lain dibakar.
“Perubahan yang kita saksikan hari ini tidak mungkin berlaku tanpa keberanian dan pengorbanan mereka yang telah gugur semasa protes,” tulis Hami Nepal, sebuah organisasi utama dalam protes tersebut di media sosial.
Perdana Menteri Sushila Karki, 73, bekas Ketua Hakim Negara, kini diberi mandat untuk memulihkan ketenteraman dan memenuhi tuntutan penunjuk perasaan bagi masa depan bebas rasuah menjelang pilihan raya enam bulan lagi.
Jurucakap polis, Binod Kharel berkata hari ini jumlah kematian akibat protes meningkat kepada 73 orang, termasuk pegawai polis dan banduan ketika berlakunya pelarian beramai-ramai.
Beliau menambah lebih satu pertiga daripada 13,500 banduan yang melarikan diri dari 24 penjara semasa protes berjaya ditahan semula atau menyerah diri. – AFP


