KATHMANDU, NEPAL, 9 MAC – Parlimen Nepal hari ini mengadakan pilihan raya untuk Presiden baharu, ketika negara Himalaya itu menghadapi ketidakstabilan politik yang semakin meningkat dengan kerajaan campuran yang rapuh yang telah berkuasa hanya beberapa bulan.
Pemilihan presiden, seorang tokoh yang tidak mempunyai banyak kuasa politik, telah mencetuskan perselisihan dalam kalangan rakan kongsi dalam pakatan pemerintah yang diketuai oleh Perdana Menteri, Pushpa Kamal Dahal yang memegang jawatan pada Disember.
Dahal menyokong Ram Chandra Poudel dari parti pembangkang Kongres Nepal, satu langkah yang menimbulkan kemarahan rakan gabungan utamanya, Parti Komunis Nepal (Unified Marxist Leninis), yang mahu calonnya sendiri menjadi presiden. Parti itu telah menarik diri daripada gabu-ngan itu.
Tiada penjelasan jelas mengapa Dahal mengambil risiko besar untuk menyokong calon pembangkang dan memecahkan pakatannya, tetapi perebutan kuasa dalam kalangan parti politik utama di Nepal merupakan perkara biasa. – AP
