KATHMANDU, 9 SEPT – Nepal menarik balik larangan penggunaan media sosial hari ini, sehari selepas sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dalam protes menuntut kerajaan menamatkan sekatan tersebut serta menangani isu rasuah.
Seorang wartawan AFP di Kathmandu melaporkan semua aplikasi media sosial utama kembali berfungsi, sementara kerajaan mengarahkan siasatan terhadap keganasan yang menyaksikan polis bertindak keras sehingga meragut nyawa penunjuk perasaan.
Beberapa laman media sosial termasuk Facebook, YouTube dan X, telah disekat pada Jumaat lalu di negara Himalaya berpenduduk 30 juta itu, selepas kerajaan menyekat 26 platform tidak berdaftar.
Larangan itu mencetuskan kemarahan meluas, khususnya dalam kalangan generasi muda yang sangat bergantung kepada aplikasi tersebut untuk berkomunikasi. Ribuan turun ke jalan raya kelmarin menuntut sekatan itu ditarik balik.
Amnesty International mendakwa peluru hidup telah digunakan terhadap penunjuk perasaan, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menuntut siasatan segera dan telus.
Seorang saksi berkata beliau “tidak pernah melihat keadaan yang begitu mengerikan” di hospital tempat puluhan daripada 400 orang yang cedera dirawat.
“Gas pemedih mata turut memasuki kawasan hospital, menyukarkan doktor untuk bekerja,” kata Ranjana Nepal, pegawai maklumat di Hospital Awam, semasa protes berlangsung.
Perdana Menteri KP Sharma Oli, 73, dalam sepucuk surat yang dikeluarkan pada malam Isnin selepas mesyuarat kabinet tergempar, yang turut menyaksikan peletakan jawatan menteri dalam negeri – menyatakan beliau ‘amat sedih’ dengan kematian itu.
“Kerajaan tidak pernah berniat untuk menghentikan penggunaan media sosial dan akan memastikan wujudnya persekitaran untuk penggunaannya,” tulis Oli, sambil menambah bahawa ‘satu jawatankuasa siasatan akan ditubuhkan untuk menyiasat dan menganalisis’ protes tersebut. – AFP


