GENEVA, 2 SEPT – Syarikat makanan Switzerland, Nestle kelmarin mengumumkan pemecatan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Laurent Freixe berkuat kuasa serta-merta selepas siasatan mendapati beliau menjalinkan hubungan dengan seorang pegawai bawahan, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Lembaga pengarah menilai tindakan Freixe sebagai satu pelanggaran kod etika dan garis panduan dalaman Nestle, menurut kenyataan syarikat itu.
“Keputusan ini perlu diambil,” kata Pengerusi Nestle, Paul Bulcke sambil merakamkan penghargaan kepada Freixe yang telah berkhidmat hampir 40 tahun bersama syarikat itu.
Lembaga pengarah melantik Ketua Pegawai Eksekutif Nespresso, Philipp Navratil sebagai pengganti Freixe.
Syarikat menegaskan hala tuju strategiknya kekal tidak berubah, namun berhasrat mempercepatkan pertumbuhan dan kecekapan.
Navratil yang menyertai Nestle sejak 24 tahun lalu memulakan kerjayanya dalam bahagian audit dalaman pada 2001. – Bernama


