Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Sebuah kenderaan elektrik (EV) keluaran China, Neta V telah diperkenalkan sempena Pelancaran Pesta Pengguna ke-27 (CF27) yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, kelmarin.
Pengedar rasmi kenderaan berkenaan, Berjaya Sdn Bhd berkata, kereta utiliti sukan (SUV) kompak itu merupakan antara yang unik untuk dipasarkan di Negara Brunei Darussalam.
Neta V menggunakan motor elektrik yang dipasang di hadapan dengan kadar 95PS (94hp atau 70kW) dan tork 160Nm.
Pengeluar kereta itu memetik, ia mampu memecut dari sifar hingga 50kmsj dalam masa 3.9 saat dan mampu mencapai kelajuan tertinggi 120kmsj dengan output sederhana.
Dari segi dimensi, Neta V berukuran 4,070mm panjang, 1,690mm lebar, 1,540mm tinggi dan mempunyai jarak roda 2,420mm.
Neta V hanya ditawarkan dalam satu varian yang didatangkan standard dengan rim aloi 16 inci (dengan tayar profil 185/55), lampu depan projektor halogen automatik, DRL LED, lampu belakang LED, masuk dan permulaan tanpa kunci, panel instrumen digital 12 inci, dan brek letak kereta elektronik, skrin sentuh infotainment 14.6 inci dengan kamera undur dan enam pembesar suara serta upholsteri kulit sintetik.
Ia juga boleh melakukan pengecasan pantas DC (CCS2) pada 100kW untuk mendapatkan bateri daripada keadaan pengecasan 30 hingga 80 peratus dalam masa 30 minit sahaja.
Orang ramai yang berminat dengan kereta EV itu boleh datang mengunjungi pameran Berjaya Motors Sdn Bhd di ICC.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/06/P5-2-Neta_16062023.jpg)