Wednesday, November 13, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Netanyahu bubar Kabinet Perang Israel

    TEL AVIV, 17 JUN – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membubarkan Kabinet Perang yang ditugaskan mengendalikan perang di Gaza, kata pegawai Israel hari ini, satu langkah yang dibuat beberapa hari selepas anggota penting badan itu meninggalkan kerajaan kerana kecewa dengan pengendalian peperangan pemimpin Israel itu.

    Langkah itu dijangka secara meluas berikutan pemergian Benny Gantz, bekas ketua tentera berhaluan tengah pada awal bulan ini.

    Ketiadaan Gantz dalam kerajaan menjadikan Netanyahu lebih bergantung kepada sekutu ultranasionalis untuk mentadbir dan pembubaran Kabinet Perang menekankan perubahan itu apabila perang selama lapan bulan di Gaza berlarutan.

    Pegawai yang enggan namanya disiarkan itu berkata Netanyahu akan mengadakan forum yang lebih kecil dengan beberapa anggota kerajaannya untuk membincang isu sensitif berhubung perang.

    Ia termasuk Kabinet keselamatannya, di mana rakan tadbir sayap kanan merupakan anggota yang menentang perjanjian gencatan senjata dan telah menyuarakan sokongan untuk menduduki semula Gaza.

    Kabinet Perang dibentuk pada awal perang, apabila Gantz, yang ketika itu merupakan pemimpin parti pembangkang dan saingan Netanyahu, menyertai gabungan itu untuk menunjukkan perpaduan berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel. Beliau telah menuntut badan pembuat keputusan pengendalian perang, dalam usaha untuk mengetepikan anggota sayap kanan kerajaan Netanyahu.

    Ia terdiri daripada tiga ahli – Gantz, Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Yoav Gallant – dan bersama-sama mereka membuat keputusan penting sepanjang perang.

    Langkah untuk membubarkan Kabinet Perang dibuat ketika Israel menghadapi keputusan yang lebih penting. – AP

    Benjamin Netanyahu bercakap semasa sidang akhbar di pangkalan tentera Kirya, Israel, pada Oktober 2023. Kabinet Perang Israel telah dibubarkan. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda