BAITULMUQADDIS, 29 DIS – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu akan menjalani pembedahan membuang prostat hari ini selepas disahkan menghidap jangkitan saluran kencing.
Netanyahu menjalani ujian di Hospital Hadassah pada Rabu lalu, di mana dia didiagnosis menghidap jangkitan saluran kencing akibat pembesaran prostat yang ‘tidak berbahaya’, kata pejabatnya dalam satu kenyataan.
“Perdana Menteri akan menjalani pembedahan membuang prostat esok (hari ini),” kata kenyataan tersebut.
Pada Mac, Netanyahu menjalani pembedahan hernia, manakala pada Julai tahun lalu doktor menanam perentak jantung selepas beliau menjalani pemeriksaan perubatan akibat masalah kesihatan. – AFP